Kuala Lumpur, 27 Dis 2012: Tiada sebarang keputusan untuk melanjutkan tempoh pendaftaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang tamat 31 Disember ini, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Justeru, katanya, mereka yang layak diingatkan supaya tidak bertangguh untuk mendaftar segera berikutan proses pembayaran BR1M dijangka bermula bulan depan.
Beliau berkata, mereka yang sudah menerima BR1M sebelum ini walaupun tidak perlu mendaftar semula, perlu mengemas kini maklumat jika ada sebarang perubahan seperti pertukaran alamat.
“Buat masa ini, tarikh tutup pendaftaran kekal akhir tahun ini. Pembayaran BR1M akan dilakukan secara berperingkat mulai Januari. Jika boleh, kita menyasarkan proses pembayaran itu selesai pada Februari depan,” katanya kepada BH, semalam.
Kelmarin, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata lebih sejuta individu bujang yang layak menerima BR1M 2.0 masih belum mendaftar.
Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Zaidi Aziz, berkata sikap gemar bertangguh dan menunggu sehingga saat akhir antara faktor ia berlaku.
Dalam konteks ini, beliau berkata, keadaan itu dilihat lebih membabitkan mereka di bandar berbanding luar bandar yang menerima bantuan pendaftaran daripada pelbagai pihak seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
“Sehubungan itu, dicadangkan agensi berkaitan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan kaunter pendaftaran bergerak dengan tumpuan pada kawasan yang lazimnya mempunyai ramai golongan terbabit seperti perindustrian dan kilang.
“Selain itu, usaha yang sama juga boleh dilakukan di kawasan perumahan, terutama pada hujung minggu, dengan kerjasama persatuan penduduk. Wakil rakyat juga perlu memainkan peranan turun padang memastikan bantuan kerajaan ini dapat disampaikan kepada rakyat yang layak,” katanya.