Kuala Lumpur, 7 Mac 2012 – Sumbangan NGO dalam mengeratkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara luar khususnya negara ASEAN tidak dapat dinafikan memberi kesan positif dalam hubungan dua hala. Hubungan diplomatik tersebut tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada pihak kerajaan semata-mata kerana pendekatan yang diamalkan oleh kerajaan mungkin berbeza dengan amalan yang dipraktiskan oleh NGO. Majlis Belia Malaysia (MBM) selaku badan induk pergerakan belia di Malaysia yang begitu aktif dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada negara-negara luar seperti Indonesia dan Thailand kini mula mendapat perhatian daripada agensi-agensi kerajaan dari negara tersebut untuk mengadakan pelbagai program.
Seramai 40 orang dari The Ministry of Social Development and Human Security of Thailand telah mengadakan kunjungan rasmi ke pejabat MBM pada jam 2 petang dan disambut oleh Presiden MBM, sdr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Setiausaha Agung MBM, sdr. Mohd Zaidi Aziz, Penolong Setiausaha Agung, sdr. Ahmad Saparudin Yusup, Exco-exco MBM, sdr. Rhyame Yahaya serta sdr. Khairul Annuar Mansur.
Pertemuan yang mengambil masa lebih 2 jam ini diisi dengan taklimat mengenai MBM dan sesi soal jawab mengenai pembangunan belia di Malaysia. MBM juga turut berkongsi pengalaman bagaimana menguruskan persatuan belia serta bagaimana meletakkan perjuangan belia di landasan yang memberi kesan yang positif kepada pembangunan belia dan negara.