Cheras, 18 Novermber 2015: Harga rumah kini telah menunjukkan trend peningkatan yang sangat mendadak. Apabila perkara ini berlaku, menyebabkan ramai individu yang cuba untuk menjadi pemilik rumah adalah sangat sukar terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Isu ini semakin meruncing terutama dikalangan belia yang mahukan sebuah rumah atas milikan sendiri tetapi tidak mampu untuk berbuat demikian. Trend terkini juga menunjukkan bahawa kadar sewa rumah di kawasan bandar adalah tinggi disamping paras gaji yang tidak terlalu tinggi dan kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi. Kerajaan sedar akan hal ini dan telah mengemukakan beberapa skim atau kemudahan tetapi melalui kemudahan dan skim ini, berapa nilai atau jumlah yang telah menerimanya. Antara skim dan kemudahan yang ditawarkan oleh kerajaan seperti Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA), Skim Rumah Pertamaku dan sebagainya. Rakyat juga ingin tahu apa tindakan kerajaan dalam membendung dan menyelesaikan trend harga rumah yang terlalu tinggi ini serta data pemilikan atas kemudahan yang disediakan. Jika dilihat, trend harga rumah yang terlalu tinggi ini seperti susah untuk dibendung lagi.
Sehubungan dengan itu, Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menganjurkan program yang diberi nama “Terus-Terang! Jangan Sembang Kosong, Terus Selesaikan” yang membincangkan topik berkaitan denga isu dan cabaran pemilikan hartanah di kalangan belia Malaysia. Panel yang dijemput khas bagi menerangkan hal ini ialah Saudara Fadli Yusof, Exco Hartaguam Malaysia. Program ini telah diadakan di Pusat Belia Antarabangsa, Bandar Tun Razak, Cheras Kuala Lumpur di mana telah bermula pada jam 9.00 malam. Antara isu-isu yang diketengahkan adalah berkaitan tanah, rumah dan kos sara hidup. Cabaran didalam ekonomi belia adalah diri sendiri dimana timbul beberapa persoalan iaitu berapa ramai belia sanggup berhijrah ke tempat lebih jimat, macam mana hendak menyelesaikan urusan hutang dan pinjaman dan masalah bankrup disebabkan oleh membeli kereta yang mahal (hutang RM30K adalah status bankrup).Saudara Fadli telah menerangkan jenis pemilikan yang ada seperti pemilikan rumah baru, rumah terpakai atau “Sub Sale” dan pemilikan rumah lelong. Beliau turut berkongsi berkenaan cara pemilikan bagi setiap jenis hartanah. Beliau telah menggariskan beberapa cabaran yang perlu dihadapi apabila mahu memiliki rumah sendiri iaitu seperti, cabaran diri sendiri, ejen yang tidak bertauliah dan lain-lain. Beliau turut memberi pandangan dan cadangan kepada MBM untuk diperbincangkan ketika MPBN yang akan berlangsung kelak terutama dari segi keberusahaan kerajaan dalam membendung kenaikan harga rumah yang tidak terkawal kini.
Saudara Hasnul Hanif Harun, selaku exco MBM telah dilantik sebagai moderator. Antara yang hadir pada program ini adalah Saudara Saparudin Yusof, Setiausaha Agung MBM, Saudara Rizan Hassan, Ketua Penerangan MBM dan wakil-wakil dari badan gabungan MBM. Program ini diakhiri dengan acara bergambar bersama peserta dan panel.
Kesimpulannya adalah perlu berjimat dan berdisplin (perlu kreatif). Cara yang terbaik dalam pemilikan hartanah / rumah adalah dalam memiliki rumah lelong tetapi perlu mendapat keterangan dari pihak bank untuk status rumah lelong tersebut dan juga membeli tanah.