Kuala Lumpur, 15 Julai 2012 – Majlis Belia Malaysia (MBM) ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh warga Malaysia yang telah sudi menghulurkan sumbangan pakaian terpakai bagi menjayakan Kempen Kutipan Pakaian Terpakai anjuran MBM sempena dengan program 1Malaysia 4 Youth (IM4U) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada sebelah petang tadi. Kaunter kutipan telah dibuka seawal jam 8 pagi dan ditutup pada jam 1 petang di Kompleks Rakan Muda Kampung Pandan dan telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Sri Ong Tee Keat, Ahli Parlimen Pandan. Turut hadir bersama Presiden MBM Sdr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Presiden MBWP Puan Ida Harlina Ikhwan Nasir serta Timbalan Pengarah JBSN Puan Hatipah Ibrahim dan kempen ini turut dibantu oleh seramai 250 orang sukarelawan dari MBM dan iVoluntteer. Pakaian yang diterima ini telah melalui proses saringan dan susunan oleh para sukarelawan bagi memastikan pakaian tersebut sesuai digunakan. Pakaian ini akan diserahkan kepada rumah-rumah kebajikan yang akan dikenalpasti.