PAROI, 29 Julai – Buat julung kalinya, Majlis Belia Malaysia telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan Program Temu Anwar Peringkat Negeri Sembilan yang berlangsung di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi baru-baru ini.
Program ini menjadi platform interaksi terbuka yang membolehkan rakyat, khususnya pelajar dan golongan belia, bersemuka secara langsung dengan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri. Menerusi platform ini, para peserta berpeluang mengemukakan soalan serta menyuarakan pandangan dan kritikan membina berkaitan pelbagai isu termasuk pendidikan, ekonomi dan hala tuju negara.
Seramai kira-kira 1,600 pelajar Tingkatan Enam bersama guru pengiring dari sekolah-sekolah sekitar daerah ini telah menghadiri program tersebut, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi generasi muda terhadap pembangunan negara.
Antara pengisian utama program termasuk aktiviti sinergi MBM bersama pelajar, sesi Motivasi bersama PU Riz, sesi interaktif bersama Akademi Kenegaraan Malaysia, persembahan artis jemputan serta selingan kuiz yang menyuntik elemen santai dan interaktif kepada peserta.
Edisi kali ini turut menampilkan segmen Pidato Anak Muda Harapan Negara yang menghimpunkan barisan tokoh kepimpinan negara, antaranya YB Dr. Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan; YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); YB Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi; serta Tuan Kamil Munim, Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Kewangan. Sesi ini telah dikendalikan oleh Ketua Penerangan MBM, Sdr. Syafiq Ridzwan.
Kemuncak program adalah kehadiran YAB Perdana Menteri dalam sesi town hall “Dialog Anak Muda” yang menyentuh pelbagai isu berkaitan pembangunan negara. Sesi ini turut membuka ruang soal jawab secara langsung antara belia dan kepimpinan tertinggi negara.
Turut hadir ialah Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid; Naib Presiden MBM, Sdr. Dhanesh Basil; Presiden MAYC Kebangsaan, Sdr. Naim Kasim; serta kepimpinan badan-badan gabungan MBM.
MBM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dan Pejabat Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan kepada MBM untuk mengelolakan program ini.
Penganjuran Temu Anwar Negeri Sembilan ini menjadi wadah penting dalam memperkukuh hubungan antara kepimpinan negara dan generasi muda, di samping memperkasa penyertaan belia dalam agenda pembangunan negara secara lebih inklusif dan berimpak.
























