Oleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
SINAR matahari pagi Manhattan yang menerjah dari dinding kaca Hotel Millenium UN Plaza, menyedarkan sesi tidur pusingan kedua penulis di bumi New York.
Sebelum itu penulis bangun seawal jam tiga pagi untuk makan sahur bersama Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia, Mohd Zaidi Aziz. Juadah yang sangat ringkas iaitu gabungan mi segera perisa kari dan udang.
Dengan secawan teh panas kosong serta buah anggur sebagai pencuci mulut dikira cukup untuk kami bertahan menunaikan ibadah puasa untuk tempoh kira-kira 16 jam.
Tiga hari lalu kami terpaksa berjalan keluar dari hotel sejauh hampir satu setengah kilometer untuk mendapatkan bekalan nasi dan ayam panggang halal yang dijual di gerai tepi jalan pada jam 3 pagi oleh peniaga dari Bangladesh.
Amat melucukan kerana pada hari ketiga kami terpaksa berlari-lari anak dan makan dengan pantas kerana waktu imsak sudah hampir jam 4.40 pagi.
Maka pada hari keempat ini kami reda bersahurkan mi segera kerana tidak sanggup berjalan menerjah suasana kelam pagi hanya untuk mendapatkan sekotak nasi panas.
Yang membimbangkan hati kami ialah sesekali terjadi kejadian jenayah seperti tembak menembak pada waktu sebegitu.
Menurut seorang rakan di sini, walaupun kejadian jenayah kini berkurangan di New York ekoran sikap tegas Datuk Bandar membanteras geng mafia, namun risiko tetap wujud apatah lagi jika berada pada tempat dan masa yang silap.
Kami berterima kasih kepada Encik Wong, anak kelahiran Ipoh yang lebih 10 tahun berkelana di New York bersama isteri dan seorang anak yang berusaha membelikan mi segera halal di pasar raya Topline yang agak jauh jaraknya dengan hotel penginapan kami.
Peraturan kastam dan imigresen Amerika Syarikat tidak membenarkan pelancong untuk membawa makanan sendiri. Jika tidak sudah pasti penulis akan membawa segala makanan wajib untuk pengembaraan seperti serunding daging dan mi segera.
Bagi Zaidi pula beliau pasti rindu kepada sambal tumis ikan bilis yang sering isteri beliau sediakan untuk keluar negara. Kesukaran mendapatkan makanan dan tempoh ibadah puasa yang panjang tidaklah menjejaskan tumpuan kami untuk menggalas tugas yang diamanahkan.
Kami di sini menghadiri “Perhimpunan Belia Tahunan Kali ke-11 di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau The 11th Annual Youth Assembly at The United Nation”. Kami hadir mewakili Malaysia atas status delegasi pemerhati di mana penulis sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia manakala Zaidi selaku Setiausaha Agung Jawatankuasa Kerjasama Belia Asean (CAYC).
Peserta mewakili 193 negara anggota PBB hadir dalam perhimpunan yang bertemakan ‘Unwired Generation: Youth Leveraging Technology For The Millenium Development Goals (MDGs). Tema kali ini amat bertepatan dengan latar belakang peserta yang berusia antara 15 hingga 25 tahun.
Usia tersebut meletakkan mereka berada pada tahap aktif sebagai pengguna teknologi. Setidak-tidaknya setiap remaja ini memiliki sebuah telefon bimbit yang mempunyai pelbagai aplikasi bukan sekadar alat perhubungan, tetapi juga multimedia yang mampu memberi kesan kepada penyebaran nilai-nilai baik secara global.
Matlamat pembangunan millennium (MDGs) yang kini tinggal tiga tahun untuk dinilaikan secara bersama oleh warga dunia pada 2015 dilaporkan masih terlalu kecil pencapaiannya. Dalam kalangan negara sedang membangun dikatakan tidak ada sebuah negara pun yang mampu mencapai keseluruhan lapan matlamat yang digagaskan.
Sudah pasti ia akan menjejaskan harapan kita agar warga dunia dapat hidup secara seimbang dan adil. Bagi Malaysia, kita harus bersyukur kerana pentadbiran negara kita sudah lama memberi fokus kepada pencapaian itu.
Setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) mengguna pakai 21 Agenda Tempatan atau Local Agenda 21 yang menjadi petunjuk kepada usaha pembangunan masyarakat mengikut lokasi. Terbaru ialah pengenalan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang sebenarnya ada nilai adaptasi dan penzahiran daripada Matlamat Pembangunan Milenium. Malah, negara kita sebenarnya mengorak langkah lebih awal daripada PBB kerana sudah merangka Wawasan 2020 sejak 1992 dengan sembilan cabaran pembangunan sedangkan MDGs hanya dipersetujui untuk dilaksanakan pada 2000. Pembentangan awal berkaitan pelaksanaan MDGs di beberapa negara oleh duta Bangladesh, Romania dan Kenya ke PBB memberikan pendedahan kepada semua peserta bahawa masih terlalu banyak yang harus diperbaiki dalam planet bumi ini.
Kemiskinan masih menjadi isu besar yang menghantui kita. Terdapat kira-kira 1 bilion manusia menghadapi bahaya kelaparan dan mampu menjejaskan kestabilan dunia. Ketidakcukupan bekalan akan meletakkan manusia berebut dan bertempur demi survival masing-masing.
Negara kaya akan menggunakan kuasa beli untuk memiliki sebanyak mana bekalan makanan dan akan menjualkannya dengan harga lebih mahal.
Bagi negara yang memiliki sumber asli seperti minyak dan hasil bumi akan mampu membuat pertukaran selagi sumber tersebut mampu diteroka.
Sesetengah negara yang memiliki kekuatan ekonomi dan ketenteraan akan bertindak secara berat sebelah demi kelangsungan negara masing-masing sehingga berlaku ketidakadilan dalam imbangan perdagangan, pertukaran teknologi dan perkongsian kepentingan.
Lebih buruk lagi terdapat kuasa-kuasa besar yang menggunakan pengaruh mereka untuk mencampuri urusan pentadbiran negara lain demi memastikan negara tersebut terus mengikut telunjuk serta pengaruh mereka. Sebagai sebuah negara yang bersaiz kecil yang hanya memiliki 28 juta rakyat berbanding tujuh bilion warga dunia, Malaysia memerlukan pentadbir serta rakyat yang mahir terhadap perkembangan global.
Kita harus bersyukur kerana negara kita memiliki pegawai tadbir dan diplomatik yang amanah, tekun serta berpandangan jauh dalam melaksanakan misi mempertahankan negara di peringkat dunia.
Kesempatan bertemu dan berbincang dengan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Datuk Hussein Haniff memberi pemahaman mendalam penulis mengenai hakikat ini.
Justeru, sudah sampai masanya belia Malaysia mengorak langkah untuk mendekatkan diri dengan sistem pentadbiran global. Kejayaan negara menjadi tuan rumah persidangan “Global Model United Nation (GMUN) dua tahun lalu adalah suatu usaha yang sangat membanggakan.
MBM berharap kerajaan dapat menghantar lebih ramai belia untuk menghadiri program dianjurkan PBB. Kenyataan Wakil tetap Kenya ke PBB iaitu “kita mungkin milik sesetengah kumpulan atau kaum di negara masing-masing, tetapi anda semua adalah anggota kepada sebuah masyarakat sejagat”.
Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM
Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/06