MAJLIS BELIA MALAYSIA

Teks Ucapan Presiden MBM Sempena Sambutan Hari Belia Negara 2021

Assalamualaikum w.b.t. & Salam Sejahtera

Yang diraikan para belia dan anak muda sekalian.

YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia

YB Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, Menteri Belia dan Sukan Malaysia

YB Mohd Syahbuddin Hashim, Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia

Pegawai Tertinggi Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

Exco MBM,

Pemimpin gerakan belia,

“A bird is known by its song and a man by his way of talking”

Saudara saudari sekalian,

1.) Ini detik bersejarah apabila Majlis Belia Malaysia dan Belia Malaysia menyambut Hari Belia Negara (HBN) tiga tahun berturut-turut dengan dengan tiga Perdana Menteri dan tiga Menteri Belia dan Sukan;

2.) HBN juga tahun ini mencatat sejarah apabila diraikan pada permulaan sambutan International Youth Work Week berbanding HBN 2020 bersempena Hari Belia Antarabangsa, International Youth Day;

3.) HBN merupakan hari kebesaran belia Malaysia di mana sumbangan, pengorbanan, pencapaian dan kejayaan belia dan gerakan belia diiktiraf dan diraikan oleh pembesar negara walaupun anak muda sering disinonimkan dengan pelbagai ungkapan dan bidalan seperti umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang, ayam baru belajar berkokok, belum pandai menyapu hingus sudah hendak berjuang lidah. Namun perlu direnungkan bahawa “Penghulu disanjung dengar adatnya, orang alim disanjung dengan kajinya manakala orang muda disanjung dengan mudanya”. Justeru HBN adalah panggung mengangkat darjat, harakat dan martabat kepemudaan dan kepemudian anak muda Malaysia;

Saudara saudari sekalian,

4.) MBM dan anak muda Malaysia mengucapkan terima kasih atas agenda Rekonsiliasi Nasional Kerajaan – Pembangkang yang sedikit sebanyak melegakan dan menjentik harapan baharu kepada generasi pandemial yang dirundung kekelaman dan keresahan masa hadapan. Pesan kami kepada pihak Kerajaan dan Pembangkang, “Kalau Besar Kayu Penaga, Kayu Kecil dahannya runduk; Kalau besar jangan melanda, Kalau kecil jangan merunduk”.

Marilah sama-sama semua anak muda Malaysia kita berganding bahu membina kesejahteraan ekonomi negara dan menyambut kemas tawaran agenda suara anak muda sebagaimana yang terungkap dalam ucapan sulung YAB PM bagi membina semula kegemilangan nusa bangsa.

Hendak belayar ke Teluk Betong,

Kalau Roboh Kota Melaka,

Sambil mencuba labuhkan pukat;

Papan Di Jawa Hamba Dirikan;

Bulat air kerana pembentung,

Kalau Sungguh bagai dikata,

Bulat manusia kerana muafakat,

Badan dan nyawa belia berikan.

Saudara saudari sekalian,

5.) Antara tradisi kejaguhan dan kecemerlangan Malaysia di mata dunia yang perlu diteruskan adalah ekosistem pembangunan belia yang diiktiraf sebagai antara terbaik di dunia bak kata Profesor Shepherd Zeldin dari Wisconsin Madison University, “Malaysia to our knowledge, is the only country that supports youth associations nationwide”. Keunikan dan kehebatan sisi inilah harus dipertahankan dan diperkasakan dengan 6 cadangan ini dengan izin :

a.) Mengiktiraf gerakan belia sebagai warisan tidak ketara negara (non-tangible heritage) kerana sumbangan besar gerakan belia dalam sejarah pembinaan negara bangsa dan kepimpinan negara;

b.) Menjadikan agenda Jom Masuk Belia dan Rakan Muda sebagai agenda nasional negara bagi memobilasi anak muda secara besar-besaran ke dalam kegiatan berfaedah sekaligus menghindarkan mereka daripada gejala sosial dan jenayah;

c.) Mengiktiraf sumbangan aktivis belia dan pengamal kerja belia akar umbi dengan meneruskan cadangan penggubalan Akta Kerja Belia bagi meregulasi kerja belia profesional di Malaysia dan pusat latihan kerja belia profesional wajar diletakkan di bawah seliaan Jabatan Belia dan Sukan Negara dengan dibantu oleh MBM, pemimpin dan tokoh belia yang lahir saban tahun dalam Anugerah Perdana Belia Negara;

d.) Memperuntukkan secara tahunan biasiswa penuh menyambung pelajaran dalam Diploma Kerja Belia Komanwel, Sarjana dan PhD dalam pengajian belia bagi aktivis dan pemimpin belia yang cemerlang bagi terus menyambung pelajaran dan membuat penyelidikan dalam pembangunan belia agar lahir polisi, model dan program pembangunan belia yang lebih hebat dan terbaik untuk anak muda Malaysia. Bagi tujuan ini, perbincangan awal telah diterokai bersama Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) kerana terdapat bidang pengajian belia dan kepimpinan sambil diselaraskan perlaksanaannya oleh pihal Institute of Youth Research (IYRES);

e.) Kerajaan diharap mendokong usaha dan strategi supra global MBM untuk memasarkan kepimpinan belia ke luar negara sebagai suatu diplomasi lunak, soft diplomacy melalui World Assembly of Youth (WAY) dan lain-lain seperti Asian Youth Council (AYC), Commonwealth Youth Council (CYC), The Committee of Asean Youth Cooperation (CAYC), OIC Youth Forum dan terbaru Non-Align Movement Youth Network.

f.) Meneruskan idea penubuhan Penasihat Muda kepada Perdana Menteri (PM2PM) yang telah pun digagaskan dan dipersetujui sebelum ini.

g.) Meneruskan segala inisiatif membantu belia termasuk Skim Perantisan seperti Felo Ngo KBS – MBM yang mampu menggerakkan sektor NGO khususnya NGO belia sebagai sektor ketiga yang menyumbang kepada KDNK Negara sebagaimana United Kingdom yang mempunyai The Charity Commission yang meregulasi sektor ketiga ini.

Saudara saudari sekalian,

6.) MBM sebagai Mini Malaysia dan model #KeluargaBeliaMalaysia (melangkaui batas kaum, agama, ideologi politik, aliran dan geografi) akan terus memainkan peranan yang lebih inklusif dan agresif sebagai sebagai tulang belakang pemacu negara dalam menjayakan semua agenda dan polisi #KeluargaMalaysia, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Wawasan Kemakmuran Bersama dalam meletakkan semula Malaysia ke peta dunia bersama-sama rakan strategik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia. Cabaran pasca Covid-19 jauh lebih mencabar iaitu krisis alam sekitar, justeru kita perlu #Keluarga Malaysia yang lebih kuat;

Terakhir,

7.) MBM mengucapkan terima kasih atas penerusan Agenda Undi 18 dan pengehadan 2 Penggal Perdana Menteri. Justeru, di pentas nasional ini, MBM ingin mengambil kesempatan di hadapan kepimpinan utama negara dan semua kepimpinan parti politik negara agar mempertimbangkan calon-calon anak jantan keluaran gerakan belia yang sudah terbukti dan teruji kepemimpinan mereka untuk berada dalam dewan legislatif negara dan negeri. MBM yakin mereka mampu membawa nafas segar politik negara kerana anak muda sudah lemau dengan politik lama.

Anak jantan mati di gelanggang,

Tidurnya dipuncak gelombang;

Makannya ditebing yang panjang,

Tidak mati dek H1N1!

Terima kasih!

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »