MAJLIS BELIA MALAYSIA

Teks Ucapan Jufitri Joha, Presiden Majlis Belia Malaysia Sempena Sambutan Hari Belia Negara 2020

Assalamualaikum w.b.t. & Salam Sejahtera,

Yang diraikan dan dikasihi para pemimpin belia dan anak muda sekalian;

YAB Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia;

YAB Datuk Haji Hasni bin Mohammad, Menteri Besar Johor;

YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Belia dan Sukan.

Pengerusi Tetap dan Ahli-ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia Malaysia (MBM)

Dif-dif Kehormat dan

Hadirin Hadirat Sekalian.

Marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran terhadap Allah Taala atas izin dan limpah kurnianya dapat kita berhimpun bagi meraikan hari kebesaran anak muda Malaysia, Hari Belia Negara (HBN).

Kita berhimpun bukan sekadar memenuhi rutin  upacara tahunan mahupun melengkapkan jadual takwim Kerajaan semata-mata tetapi kita mahukan himpunan dan sambutan yang membawa makna besar, pengalaman yang terindah dan sesuatu yang boleh menaikkan semangat dan daya tahan (resilience) anak muda Malaysia khususnya ketika berhadapan dengan wabak halimunan ini. Ini yang ditegaskan oleh Priya Parker dalam karyanya The Art of Gathering: How We Meet and why it Matters agar sesuatu himpunan itu mempunyai makna dan fokus kepada keistimewaannya dan khalayak yang hadir. The meaning of life is to give life meaning.

Saudara saudari sekalian,

Ada 3 makna terhadap himpunan kita ini :

Makna yang Pertama kepada himpunan ini adalah untuk mengiktiraf harakat, martabat dan darajat anak muda yang berjasa kepada Negara. Hari Belia Negara (HBN) dan Anugerah Belia Negara (ABN) merupakan pengiktirafan tertinggi dan penobatan berterusan pihak Kerajaan semenjak 1997 kepada individu dan organisasi yang telah menunjukkan jasa dan sumbangan yang cemerlang terhadap pembangunan belia dan Negara. Bagi membolehkan lebih ramai anak muda dirai dan diiktiraf di bawah 30 tahun, maka dicadangkan diwujudkan semula kategori anugerah individu seperti kategori kepimpinan, kemahiran & inovasi, keusahawanan, kesukarelaan dan daya juang dan kategori khas seperti anugerah belia melawan rasuah mahupun anugerah Hero Tidak Didendang atau Unsung Hero. Manakala Tokoh Belia dan Beliawanis Utama wajar dipilih dan bukan dipertandingkan. MBM suka mencadangkan agar jumlah dan hadiah dipertingkat bahkan diberikan geran insentif khas bagi mereka untuk terus menjalankan projek belia dan komuniti yang berimpak tinggi dan berskala besar di samping membolehkan mereka menjalankan jerayawara dan menulis buku berkongsi kisah kejayaan mereka. Juga dicadangkan diwujudkan anugerah khas kepada agensi kerajaan mahupun entiti swasta dan Ngo yang banyak mementingkan pembangunan belia.

Saudara saudari sekalian,

Makna yang Kedua kepada himpunan hari ini, masihkan kalian ingat? di tempat bersejarah Persada inilah seluruh kepimpinan pergerakan belia utama Negara telah berkumpul pada September 2019 kurang sepurnama pada bulan ini daripada tarikh ulangtahun pertama bagi mengadakan Kongres Belia menggagaskan hala tuju, nasib dan strategi menghadapi suasana suram pergerakan belia negara. Kongres tersebut berjaya menggegarkan Malaysia dengan menghantar mesej yang jelas bahawa pergerakan belia akan terus hidup dengan idealisme perjuangan. Untuk itu pihak MBM dan seluruh pergerakan belia ingin merakamkan ucapan menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor kerana menaungi Kongres tersebut sekaligus sudi mencemar duli mendengar rintihan dan permasalahan pergerakan belia pada ketika tersebut. Justeru hari ini, negeri ini dan tempat ini amat bermakna bagi kami. Terima kasih Bangsa Johor. Hari ini kepimpinan pergerakan belia berasa terbela dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana memilih mantan pimpinan belia menerajui KBS yang amat memahami denyut nadi dan sakit kepala pemimpin belia dalam membangunkan anak muda Malaysia.

Saudara saudari sekalian,

Makna yang ketiga adalah tergantung kepada ucapan dan amanat YAB Perdana Menteri yang bakal disampaikan sebentar sahaja lagi. Sebagai mantan pimpinan belia dan mantan Menteri Belia dan Sukan, kami yakin ucapan tersebut bakal memberikan semangat, litizam dan nyalarasa kepada anak muda Malaysia untuk dijadikan azimat berhadapan dengan suasana yang mencabar ini. Kami juga amat yakin ada sesuatu yang bermakna bakal diumumkan sebentar lagi. Namun di kesempatan ini, kami ada mengutarakan kepada YAB dalam pertemuan tanggal 22 Julai lepas agar pihak YAB mempertimbangkan penubuhan Kumpulan Khas Penasihat Anak Muda Berkepakaran (Think Do Tank) bagi menasihati, memberikan idea dan bekerja bersama-sama YAB secara langsung bagi membangunkan belia dan Negara. MBM juga ingin mengambil kesempatan ini agar YAB dan seluruh kepimpinan negara agar menampilkan lebih ramai tokoh-tokoh muda yang berkelayakan untuk berada dalam dewan legislatif dan platform pembuatan dasar dan polisi di semua peringkat selaras dengan penurunan had umur belia kepada 30 tahun. Ini persis pada zaman Rasulullah S.A.W di mana anak muda bukan sahaja dikasihi tetapi diberi pengiktirafan menggalas tugasan penting Negara dan ia juga selaras dengan kempen Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu, Not Too Young To Run (NTYTR). Kami yakin anak muda boleh menjadi apa yang disifatkan oleh Pendeta Za’ba sebagai ‘pemulih negeri’ dan solusi kepada kemelut politik dan ekonomi Negara semasa.

Saudara saudari sekalian,

Terakhir sekali, MBM akan terus komited mendokong Kerajaan untuk membangunkan belia dan Negara dan hari ini MBM menyahut cabaran YAB Perdana Menteri dengan melancarkan Program Kemahiran Insaniah (PROKEN) dengan kerjasama KBS dan tajaan HSBC Bank. Sebuah kerjasama pintar NGO-Kerajaan-Korporat. MBM akan terus fokus menjayakan agenda dan program ekonomi belia khusus yang terkait langsung dengan pakej PENJANA, agenda kedaulatan makanan, program literasi kewangan, agenda kesihatan mental, pengukuhan institusi keluarga muda, agenda belia Borneo dan minoriti, program kepimpinan belia, agenda perpaduan Negara, agenda pengantarabangsaan belia dan program profesional muda.

Kita berikrar untuk terus mengembalikan ruh dan falsafah pembangunan belia untuk melahirkan belia yang menjadi hamba Allah, warga Negara yang efektif dan khalifah yang memimpin perubahan selaras dengan intipati Rukun Negara, Perlembagaan Negara, Undang-Undang Tubuh Negeri, Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB)  dan Dasar Belia Malaysia (DBM) yang holistik.

Di akhirnya, kita bicara tentang belia bukan kerana nama mereka belia, tetapi kerana sifat mereka pemuda yang bertenaga, tertayang pada mereka watak sebagai penyambung warisan, penerus peradaban, pemikul beban amanah negara. Tugas kita untuk memenuhi perisian diri mereka dengan intipati, harapan kelak mereka akan layak menjadi pemuda seperti yang dipesankan oleh Pendeta Za’ba ;

Padalah itu aku khabari,

Ingatlah semua muda jauhari,

Kiranya kabul ALLAH memberi,

Dirimu jadi pemulih negeri..

Saudara saudari sekalian,

Saya tutup dengan serangkap pantau dengan meminjam pembayang pantu Allahyarham Pak Tenas Effendy

Mengapa Kumbang menyeri bunga,

Kerana lemaknya madu di sana;

Dekad Ini Milik Siapa?

#Dekad Ini Dekad Anda.

Sekian terima kasih.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »