KUALA LUMPUR 18 Mei – Kerajaan digesa menarik balik lesen atau mengharamkan penerbitan sebarang akhbar dan portal berita yang menyiarkan laporan tidak bersandarkan fakta dengan niat menimbulkan kebencian rakyat.
Presiden Majlis Belia India Malaysia (MIYC), Reghu Devan Lopez berkata, tindakan tegas seperti itu perlu segera diambil berikutan ia dikhuatiri akan menjejaskan keharmonian dan reputasi negara pada mata dunia.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa mana-mana akhbar atau portal berita mengeluarkan laporan yang tidak mempunyai bukti kukuh, semata-mata untuk menjatuhkan negara perlu disekat sama ada diharamkan terus atau lesennya ditarik balik kerana perbuatan mereka mungkin berniat membawa kehancuran kepada negara.
“Malah tindakan sesetengah media itu yang menyiarkan laporan tidak tepat dengan melakukan fitnah dan tohmahan boleh menimbulkan perpecahan di negara ini. Jadi, saya risau jika perkara sedemikian berlarutan, kebencian dan suasana tidak harmoni akan bercambah dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Malaysiakini kelmarin diberi notis tuntutan saman di atas penerbitan artikel yang berunsur fitnah bertajuk A case of the PM reaping what he sows dan How much will Najib spend to keep Terengganu.
Notis tersebut dihantar menerusi firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak yang mewakili UMNO dan Datuk Seri Najib Tun Razak atas kapasiti peribadi beliau.
© Utusan Melayu (M) Bhd