PASIR PUTEH 30 Jun — Sejumlah 3.2 juta belia yang menganggotai Majlis Belia Malaysia (MBM) akan menanggung risiko sendiri jika menyertai perhimpunan haram pada 9 Julai ini.
Presidennya, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, MBM tidak bertanggung jawab terhadap sebarang risiko yang mungkin berlaku pada hari berkenaan.
“Kita berharap mereka tidak menyertai himpunan anjuran parti pembangkang itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Program Cetusan Gemilang STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut, di sini, hari ini.
Beliau berkata, isu itu sepatutnya telah selesai apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memberi penjelasan secara terperinci kepada pihak-pihak berkenaan sebelum ini.
Maliki berkata, ini termasuk penjelasan mengenai dakwaan terdapat pengundi hantu dalam daftar pemilih sebagaimana yang didakwa oleh pihak-pihak terbabit.
Beliau berkata, sebagai membantah himpunan dan sokongan terhadap kerajaan pihaknya sedang melancarkan kempen menandatangani satu juta anggotanya di seluruh negara.
“Sehingga ini 500 tandatangan telah pun diperoleh dan yakin akan mencapai sasaran itu dalam tempoh terdekat,” katanya.
Di samping itu beliau mencabar penganjur mengadakan perdebatan dengan anggota MBM dalam tempoh terdekat supaya rakyat dapat menilai siapa yang benar dan siapa yang salah. – Bernama