MAJLIS BELIA MALAYSIA

Tangguh pendaftaran PADU, selesaikan dulu isu berbangkit – Majlis Belia

KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa kerajaan menangguhkan pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sehingga beberapa isu berbangkit diselesaikan.

Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, kerajaan tidak perlu tergesa-gesa melaksanakan pendaftaran PADU kerana telah wujud beberapa integrasi data melalui pelbagai agensi kerajaan.

“Sejak dilancarkan pada Januari lalu, sebanyak 35.1 peratus atau hanya 7.7 juta pendaftaran direkodkan dan jika ambil kira kepada angka terkini, masih jauh untuk mencapai sasaran yang diletakkan kerajaan iaitu 29 juta penduduk menjelang 31 Mac yang hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi.

“Kami melihat usaha pengintegrasian data secara berpusat ini merupakan satu inisiatif baik kerana ia dapat menjamin usaha ke arah pendigitalisasian sistem pentadbiran negara yang dapat melicinkan urusan pemberian subsidi dan bantuan secara bersasar dengan lebih berkesan.

“Hakikatnya masih ramai dalam kalangan rakyat sebenarnya tidak memahami dengan mendalam mengenai kepentingan sistem PADU ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Izzat, kerajaan perlu bersifat lebih terbuka dalam menerima cadangan untuk menangguhkan pendaftaran PADU bagi memberi ruang kepada penjelasan tentang kepentingannya dan beberapa persoalan besar seperti kelemahan akta, keselamatan platform dan kekurangan program ‘outreach’ .

Tambahnya, kerajaan juga perlu meningkatkan usaha-usaha penerangan dan komunikasi secara terus melalui semua agensi tentang kepentingan pendaftaran sistem PADU. – MalaysiaGazette

Artikel penuh :

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »