MAJLIS BELIA MALAYSIA

Syor syarat pemilikan kad kredit diperketat

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memperketat syarat pemilikan kad kredit terutama kad kredit emas (gold card) bagi memastikan golongan yang benar-benar mampu saja memiliki kad itu.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata syarat pemilikan kad kredit emas sedia ada termasuk pemegang kad kredit klasik dengan rekod pembayaran baik serta pendapatan minimum RM4,000 mampu menyumbang kepada penyalahgunaan kad terbabit.

Ini kerana, katanya, had kredit yang diberikan adalah lebih tinggi, seterusnya menyebabkan pengguna terutama golongan muda gagal melunaskan hutang.

“Kad kredit emas sewajarnya ditawarkan kepada golongan berpendapatan tinggi, contohnya ahli perniagaan, bukan golongan pertengahan kerana jumlah hutang mereka boleh mencecah berkali ganda daripada pendapatan sebenar.

“Kita perlu mendidik golongan muda menggunakan kad kredit sebagai instrumen pembayaran, bukan untuk berhutang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Ma’amor Osman, meminta kerajaan mengkaji semula Akta Kebankrapan 1967 memandangkan peraturan dalam akta sedia ada turut menyebabkan bukan penghutang sebenar diisytiharkan bankrap.

“Ada yang bankrap bukan kerana kehendak mereka, sebaliknya penjamin serta kerana kegagalan pengguna kad kredit tambahan menggunakan nama pemegang kad utama membuat pembayaran.

“Perlu ada kaedah bagi mengurangkan golongan yang bankrap ini termasuk syarat membolehkan status itu dilupuskan, bukan sepanjang hayat kerana ini merugikan negara terutama apabila membabitkan generasi muda yang menjadi aset dan pemimpin masa depan,” katanya.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan kerajaan melalui Bank Negara untuk mengadakan program kesedaran dan mendidik golongan muda menguruskan kewangan secara berhemat.

Berita Harian semalam melaporkan Bank Negara bercadang mengetatkan jumlah had kredit bagi pemohon kad kredit berpendapatan antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan kepada sekali ganda gaji dan daripada dua bank saja, berbanding masa kini yang melayakkan mereka berpendapatan minimum RM1,500 memohon kad kredit klasik.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »