MAJLIS BELIA MALAYSIA

Syarahan Perdana Pendidikan Negeri Melaka 2018

Buat julung-julung kalinya, sebuah Syarahan Perdana Pendidikan telah dianjurkan di peringkat negeri Melaka pada 3 Mac 2018. Diatas kerjasama erat Unit IPT Jabatan Ketua Menteri Melaka, Akademi Intelektual Muda (AIM), Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM), ia dianjurkan dengan hasrat untuk mengisi citra keilmuan dan pendidikan selaras dengan persiapan gagasan Transformasi Nasional 2050. Ia diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada hala tuju pendidikan negeri Melaka yang akan menjadi model negeri peneraju institusi pendidikan bersepadu & holistik, dengan mengambilkira keperluan persiapan menghadapi Revolusi Industri Keempat.

Majlis yang dijalankan pada Sabtu, 3 Mac 2018 ini telah berjalan lancar dengan kehadiran sekitar 250 orang peserta dalam kalangan warga pendidik Jabatan Pelajaran Melaka, para pensyarah serta mahasiswa mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi seluruh negeri Melaka. Program telah dimulakan dengan ucapan aluan oleh YB Datuk Hj.Amirudin Bin Hj. Yusof, Pengerusi PERPUSTAM, yang menekankan kepentingan mendidik manusia dari sudut akal dan jiwa, tanpa mengenepikan kepentingan sains dan teknologi. Beliau mengulas bahawa pada pendidikan akal dan jiwa inilah letaknya kekuatan fikir dan kecenderungan nurani yang akan membentuk akhlak dan sahsiah pelajar yang baik dan beradab.

Majlis kemudiannya diteruskan pula dengan ucapan perasmian oleh YB Datuk Wira Hj. Md Yunos Bin Husin, Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Dan Teknologi, Teknologi Hijau Dan Inovasi Melaka. Beliau menyampaikan ucapan dengan merakamkan penghargaan kepada Akademi Intelektual Muda, Unit IPT Jabatan Ketua Menteri Melaka, Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka, Majlis Belia Malaysia, Majlis Gabungan Belia Melaka dan seluruh peserta di atas penglibatan dalam wacana keilmuan yang membicarakan tema-tema besar pendidikan, kenegaraan serta polisi awam. Beliau turut menyentuh keprihatinan Kerajaan Negeri Melaka dalam soal pendidikan anak watan, serta bersama dengan warga institusi pendidikan di setiap peringkat bagi merasai denyut nadi rakyat. Tambahan pula, penyampai Syarahan Perdana, kata beliau, adalah seorang anak negeri Melaka yang sudah berpencak di lapangan pendidikan sejak puluhan tahun, justeru menyifatkannya ‘bagai sireh pulang ke gagang’. YB Datuk Wira juga merasmikan pembukaan Majlis Syarahan Perdana Pendidikan Melaka 2018, dan mengucapkan selamat berbakti kepada tanah air kepada para peserta.

Majlis kemudiannya tiba kepada rencana utama, iaitu sesi Syarahan Perdana yang disampaikan oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Sidek Bin Baba dengan tajuk syarahan, “Pendidikan Dalam Revolusi Industri Keempat: Cabaran Mendidik Akal & Jiwa”. Beliau memulakan syarahan dengan memberikan penerangan sepintas lalu mengenai perkembangan Revolusi Industri sejak era industri pertanian sehinggalah zaman kini, yang menggunakan peralatan teknologi tinggi serta automasi dan kejuruteraan internet, yang memberi kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran terutamanya kepada generasi muda. Justeru menurut beliau, perlunya keseimbangan di antara perkembangan pembangunan teknologi dengan penyuburan nilai manusiawi. Persoalan ditimbulkan, perihal bagaimana peranan manusia dalam pendidikan terutamanya dalam penerapan nilai murni kepada para pelajar, sebagai contoh, sifat ikhlas, amanah dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas. Perkembangan teknologi automasi seolah-olah mengambil peranan manusia dalam pelbagai urusan, maka kerana itu pendidikan akal dan jiwa perlu dititikberatkan. YBhg. Prof Dato’ berulang kali menegaskan bahawa teknologi adalah alat, bukan matlamat. Adapun matlamat pendidikan adalah untuk melahirkan manusia yang beradab dan mempunyai disiplin terhadap ilmu serta mempunyai jati diri yang utuh. Guru atau pensyarah sewajarnya menjadi contoh yang baik dalam menerapkan nilai-nilai manusiawi dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik-bilik darjah dan dewan-dewan kuliah. Hasilnya, bakal melahirkan jiwa manusiawi yang mempunyai neraca amanah dalam pertimbangan baik dan buruk dalam hati, yang akhirnya akan menatijahkan amal dan praktik manusia yang berwibawa.

Selesai syarahan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Sidek Bin Baba selama lebih sejam, peluang dibuka pula kepada para peserta untuk berinteraksi melalui sesi soal jawab. Beberapa persoalan telah diutarakan oleh para peserta dari kalangan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi serta Institut Pendidikan Guru. Persoalan-persoalan yang diutarakan umumnya bersifat praktik pendidikan, perkongsian pengalaman serta pandangan dalam isu semasa. Para peserta dilihat berperanan aktif dalam sesi soal jawab sebelum ia berakhir dengan sesi penyampaian cenderamata dan bergambar. Para peserta juga diberi peluang untuk mengenali YBhg. Prof. Dato’ Dr. Sidek Bin Baba dengan lebih dekat melalui buku-buku penulisan beliau serta peluang beramah mesra dan sesi autografi.

Majlis Syarahan Perdana Pendidikan Melaka 2018 berakhir dengan jayanya, dengan kehadiran dan dan penglibatan aktif dari kalangan para guru, pensyarah serta mahasiswa-mahasiswi. Diharapkan agar ia memberi manfaat kepada pembangunan agenda pendidikan negara.

 

Laporan disediakan oleh,

Akademi Intelektual Muda

Sekretariat Syarahan Perdana Pendidikan Melaka 2018.

 

 

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »