Banyak perkara yang sering dilihat mencarik-carik permuafakatan sesama ummat. Samada ia oleh perbezaan mazhab, politik, budaya dan tidak terkecuali sosial. Namun, satu perkara yang harus kita sepakati dan persetujui bersama ialah kita harus bersatu bahawa masalah ilmu adalah perkara pokok utama tentang kepentingan dan keutamaannya yang mengatasi perbezaan lain tidak kira sebesar apapun. Kepentingannya telah secara tersurat dirakamkan oleh Allah melalui wahyunya yang pertama ditanzilkan – Iqra’.
Kaum intelektual telah mengamati salah satu watak khas peradaban Islam adalah perhatiannya yang serius terhadap pencarian pelbagai cabang ilmu. Justeru, tamaddun yang lahir daripadanya juga diterasi oleh unsur ilmu pengetahuan, bukan seni dan mitos. Faham ilmu dalam setiap kebudayaan berbeza menurut sistem nilai yang dianut. Bagi masyarakat yang bebas nilai seperti di Barat, mereka meyakini konsep kesejagatan sains, bahawa sains-lah satu-satunya alat untuk mengabsahkan kebenaran. Manakala bagi masyarakat yang dipengaruhi nilai agama, ilmu yang diterbitkan sangat dipengaruhi nilai dan kebenarannya boleh melangkaui keabsahan penerimaan sains. Ini yang membezakan watak khas peradaban Islam. Ilmu dipengaruhi sarat nilai (value-bond). Dengan kata lain, Ilmu memiliki kesetaraan dengan iman. Tesis Rosenthal (1970/1992) yang membuktikan kesetaraan ilmu dengan iman (Islam). Tegasnya ilmu penuh nilai, iaitu dipengaruhi nilai dan memberi nilai.
Tiada yang lebih berharga daripada ilmu pengetahuan. Ilmu ada warisan para Nabi, auliya dan para ulama’, sarjana dan intelektual.
Alam Melayu sebagai bahagian daripada kebudayaan dunia turut memancarkan nuansa yang sama. Kemunculan tamaddun serentak dengan masuknya iklim intelektualisme tidak lepas daripada pengaruh para ilmuwan dan sarjana. Kepada mereka, budaya ilmu mulai ditempa, ditukang dan direkayasa. Sehingga kita pada hari ini dapat menikmati buah-buahan yang ditanam daripada benih usaha mereka yang menjadi saham.
Sebagai menzahirkan sikap menghargai jasa dan sumbangan para ilmuan ini, pemuda hari ini dan masa depan haruslah melanjuti kerja baik yang mereka tinggalkan. Penghargaan itu boleh jadi datang dalam beberapa cara. Meneladani jalan yang dirintis mereka. Dengan maksud mengenali dan mengiktibari segala jejak langkah mereka yang murni terkait peningkatan darjah diri insani. Juga, menggunakan kerangka berfikir mereka dalam memberikan komentar terhadap sebarang persoalan ilmu. Kerangka berkenaan boleh datang dalam faham epistemologi dan aksiologi yang diajukan oleh mereka untuk melanjuti kerja yang terbengkalai atau yang belum dilunaskan.
Di sinilah peranan para pemuda yang tercerah menyedut dan memindahkan sumbangan signifikan kaum ilmuwan terhadap pembinaan watak budaya ilmu di tanah air kita khususnya dikalangan ilmuwan yang menghadapi konteks dan masalah-masalah kontemporari yang sedang kita lalui.
Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas melalui gagasan beliau yang monumental telah menayangkan seruan malar segar (evergreen) supaya kaum ilmuwan Islam terutamanya menyaring sains Barat dan menerbitkannya dengan faham berasaskan metafizik dan kosmologi sendiri. Gagasan beliau itu dinamai sebagai Islamisation of Knowledge (Islamisasi ilmu pengetahuan). Pandangan alam (worldview) Islam berbeza dengan apa yang terkandung daripada faham Barat yang berasaskan faham sekularisme. Prof. al-Attas juga mengajukan rumusan penting terhadap memahami makna-makna kunci (key concept) dalam Islam seperti pendidikan, pembangunan, kemajuan, kebahagiaan. Beliau termasuk yang terawal memberikan definisi yang begitu konsisten tentang pendidikan Islam berasaskan faham adab. Kemaraan untuk benar-benar membersihkan tubuh ilmu daripada pandangan alam yang menyeleweng dan menyimpang ditekadkan lagi melalui gagasan dewesternization atau penafi-baratan atau penyah-baratan. Membebaskan epistemologi dan struktur ilmu daripada campur tangan kekeliruan faham Barat.
Al-Attas mendahului jasa sumbangannya terhadap memberikan definisi yang tuntas tentang persoalan ilmu. Menurutnya, pentakrifan ilmu bersifat tidak terbatas (limitless) tanpa hadd kerana begitu luas pendefinisiannya. Kami di sini membawakan takrif yang telah disimpulkan begitu baik oleh Profesor al-Attas bahawa ilmu adalah ketibaan makna ke dalam diri serempak dengan ketibaan diri ke dalam makna. “Makna” di sini adalah kata kuncinya. Sebarang apa sahaja proses yang menemukan kita kepada makna di dalam jiwa dan hati yang kemudianya meresap masuk ke dalam fikiran dan lisan dan perbuatan itulah takrif benar memenuhi haknya. Ia thabit dengan sifat ilmu yang membawa pengenalan, pengiktirafan dan penghapusan keraguan untuk memandu pemiliknya menuju suatu maksud yang cerah. Justeru, seringlah ilmu itu akan bermuara juga pada tindakan yang baik menurut suluhan yang ada padanya.
Gagasan beliau juga telah mendorong lahirnya beberapa kumpulan yang memotori ideanya di peringkat gerakan kebeliaan. Prof. Wan Mohd Noor dalam karya Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam Syed Muhammad Naquib al-Attas menyebutkan bahawa gagasan al-Attas telah mengilhamkan landasan konkrit kepada Akademi Sains Islam (ASASI), Gabungan Penulis Islam Malaysia (GAPIM), ABIM untuk menyuarakan kepentingan idea-idea pokok pengislahan di medan aktivisme. Juga turut mendorong tumbuhnya pelbagai wacana, usrah dan medan-medan perbincangan intelektual untuk membahaskan dan membumikan usaha-usaha keilmuwan.
Seorang lagi tokoh yang harus golongan belia amati ialah Prof. Syed Hussein Alatas. Beliau bergelumang di medan sosiologi melalui argumentasi yang berlawanan dengan wacana pegun di arus perdana yang tertawan.
Beliau percaya bahawa sejarah perlu ditafsir semula seperti apa yang pernah disebut Edward Said sebagai “revisionary history” iaitu penulisan sejarah yang menolak wacana berpengaruh dan berkuasa. Salah satu contoh karya seumpama ini yang dirujuk oleh beliau ialah karya Prof. Alatas The Myth of the Lazy Native. Dalam karya berkenaan beliau mengkritik teori penjajah bahawa rakyat peribumi adalah malas pada dasarnya. Beliau memperlihatkan peranan citra peribumi Jawa, Melayu, Fillipina dalam kapitalisme penjajah dan berterusannya mitos ini dikalangan elit peribumi sendiri. Di negara-negara Asia yang lain seperti India dan Fillipina, suatu tradisi pentafsiran semula sejarah telah ditanamkan dalam kalangan sarjana. Hal ini masih belum berlaku di negara kita.
Alatas juga nyaring membidikkan kritikannya terhadap sikap minda tertawan (captive mind) yang hanya menerima secara borong dan pukal apa sahaja citra yang dilukiskan oleh ilmu kolonial (colonial knowledge). Tindakan ini menjadikan bahawa sejarah kita diherotkan oleh tangan-tangan asing yang sangat bersikap bias.
Peranan intelektual sangat signifikan dalam upaya mengemudi kebangunan negara. Menurut Prof. Alatas, kesan ketiadaan kepimpinan intelektual membawa kepada program pembangunan dalam negara tergendala. Di sini perlu dijelaskan, budaya intelektual yang ditakrifkan bukan sekadar menyebutkannya di atas kertas mengenai falsafah itu dan ini, tetapi kegiatan bersifat pemikiran mendalam terhadap perkara bukan kebendaan yang menjadi roh yang menghidupkan sesuatu. Karangan beliau “Intellectuals in Developing Societies” wajar dirujuk dan dijadikan bacaan dalam pergerakan belia tanah air.
Za’ba suatu contoh yang perlu kita pertimbangkan. Kesungguhan beliau menebas ‘itiqad terpasung yang memahami takdir dan menjalani agama secara pasif telah memungkinkan ummat Islam tertinggal jauh di belakang saf-saf kaum yang maju. Za’ba menyeru kepada para pemuda supaya memberikan perhatian kepada soal pendidikan.
“Pelajaran hendaklah juga dijadikan ‘kalimah syahadah’ yang awal pertama sekali hendak dikirakan dan dilebihkan”
Za’ba antara barisan terawal yang berdiri memecahkan tembok taqlid buta, kepercayaan karut, dan mulai menanamkan risalah pembaharuan melalui persenjataan ilmu. Beliau berani mengatakan bahawa masalah kemunduran kaum muslimin ini tidak akan pernah selesai ditangani selagi tidak dicantumkan pendidikan sains pada satu pihaknya dan pendidikan agama pada satu pihaknya seberapa yang terdalam mampu. Pemikiran ini menayangkan suatu komitmen akan kepentingan pendidikan sepadu (holistic education) yang diharapkan dapat melahirkan kelompok yang multi-dimensi atau dengan kata lain – mengintelektualkan ulama, mengulamakan intelektual. Gandingan dua domain ini dipastikan dapat membawa keluar ummat daripada gelita ketinggalan.
Betapa pentingnya menurut Za’ba soal pendidikan dalam maksud ilmu pengetahuan ini sehingga, daripadanya baru dapat dibina bangunan-bangunan kemajuan dan mengeluarkan masyarakat daripada derita kemunduran.
Sehinggakan beliau mensyairkan dalam Majalah Guru
Hidup manusia dan pihaknya,
Satu di dunia badan busuknya;
Satu akhirat tujuan rohnya,
Wajiblah ilmu bagi keduanya.
[Za’ba]
Majalah Guru,Bil.9, 1 September 1927]
Budaya ilmu itu ditandai oleh sehimpunan karya tulis dan wacana yang didukung sesebuah masyarakat. Menjejak karya seawal abad ke – 17 seperti Durr al-Fara’id bi Sharh al-‘Aqa’id oleh al-Raniri sebagai mithal membawakan kita kepada dimensi bahawa telah muncul dan berkembang secara mendalam kegiatan ilmu yang membincangkan soal-soal metafizik dan epistemologi yang berstruktur di tanah air.
Tidak diketepikan himpunan syair-syair sufi yang melambangkan pencapaian seni tinggi dan kehalusan rohani seperti yang tertuang dalam syair-syair Hamzah Fansuri seperti Syair Perahu, Syair Si Burung Pingai. Tamthilan yang dibawa pengarang dalam syair ini menerbangkan jiwa para ‘arifbillah untuk berangkat menuju pelayaran di dunia yang fana’ ini dengan kemudi yang benar. Satu lagi dimensi spritualisme yang begitu halus telah bergemerlapan dalam buana keilmuwan tanah air
Soal spiritualisme sering diabaikan oleh pembangunan yang ditaja Barat. Kompas moral yang memandu mereka kering daripada siraman ruhi, menjadikan pembangunan hanyalah semata-mata meruntuh. Sedangkan kepentingan spiritual yang didatangkan oleh agama-lah yang telah memberikan makna fundamental serta menjadi tapak kepada tumbuhnya peradaban seperti yang disebut para sarjana;
“Banyak cendekiawan merumuskan, bahawa unsur pokok suatu peradaban adalah agama. Agama, kata mereka, adalah faktor terpenting yang menentukan karakteristik suatu peradaban. Sebab itu, Bernard Lewis menyebut peradaban Barat dengan sebutan Christian Civilization, dengan unsur utama agama Kristian. Huntingtong juga menulis ‘agama merupakan karakteristik sentral yang menentukan peradaban”. Menurut Chistoper Dawson, “agama-agama besar merupakan tapak kepada peradaban-peradaban besar”. Di antara empat peradaban besar yang masih wujud – Islam, Barat, India dan Cina, menurut Huntington semuanya berkait dengan agama Islam, Kristian, Hindu dan Konghucu”
Seorang lagi tokoh yang patut dimajukan untuk para pemuda menghargai dan tidak sekadar itu turut mendekatinya ialah Prof. Shaharir Mohd Zain. Sebagai ahli matematik Melayu pertama menerima gelar PhD pada tahun 1974, pencapaian beliau disemarakkan oleh kerja kerasnya untuk mengangkat apa yang dinamakan sebagai keilmuwan peribumi (indigenous knowledge). Sehinggakan sumbangan besarnya itu telah melahirkan pula satu lagi gagasan dinamakan peribumisasi ilmu. Menilai sains Barat dan ilmu Islam daripada kacamata keilmuwan peribumi. Sebuah sudut pandang yang sering diabaikan oleh ramai sarjana.
Kearifan watan (local wisdom) yang tertanam di kebun kebudayaan sendiri sering diperkecilkan oleh generasi hari ini termasuk kalangan para sarjananya. Kekaguman melulu terhadap segala yang datang daripada Barat menjadikan penilaian berat sebelah. Prof. Shaharir termasuk yang mempopularkan bidang etnosains khususnya etnomatematik. Beliau menggelintar ilmu yang asli, tulen yang lahir daripada alam buminya sendiri. Dapatan beliau yang mengingatkan antaranya penemuan sistem angka perpuluhan bersimbol kosong dalam tradisi Funan yang menurutnya sebagai merupakan yang tertua di dunia. Beliau yakin bahawa tradisi kebudayaan Melayu juga memiliki apa yang disebutkan sebagai Sains Melayu yang tidak bertentangan dengan nilai Islam dan boleh dibanggakan seperti mana sains Barat berkembang daripada kebudayaan Yunani dan hari ini telah bernilai semesta.
Jiwa besar begini yang perlu kita tanamkan kepada para belia. Untuk memastikan soal keintelektualan dilazimi dibudaya dalam kehidupan sehari-hari tiadalah jalan lainnya iaitu mendekati amalan membaca dan mencampuri perbincangan ilmu.
Ilmuwan itu laksana pelita yang menyuluh gelita ketika tiada lampu yang melimpahi. Satu kata-kata yang perlu direnungkan oleh oleh kita hari ini disandarkan karangan oleh Profesor al-Attas dalam monograf Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu yang disampaikan dalam Syarahan Pengukuhan Profesor di UKM pada tahun 1972 ;
“Hati yang hampa tiada mengandung Sejarah Bangsa
Tiadakan dapat tahu menilai hidup yang mulia
Penyimpan Khabar Zaman yang Lalu menambah lagi
Pada umurnya umur berulang berkali ganda”
Tentang kepentingan sejarah dan penghargaan kita terhadap para tokohnya, janganlah diabaikan sekali. Jika tidak umur yang terisi berlalu hampa dan hening tanpa makna walaupun diulang lipat berkali ganda. Selamat melanjutkan warisan intelektual murni ini.
Oleh: Muhamad Hanapi bin Jamaludin
Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia
Tarikh: 16 Disember 2021