MAJLIS BELIA MALAYSIA

Sukarelawan ABIM dampingi pesakit

KUALA LUMPUR 2 Sept. – Kira-kira 500 pesakit di wad kelas tiga Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerima kunjungan istimewa daripada sukarelawan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di sini semalam.

Selain menghulurkan bantuan makanan sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, sukarelawan terlibat juga memberi khidmat kaunseling kepada pesakit terlibat tanpa mengira kaum dan agama.

Seorang pesakit di wad tersebut, R. Malathi, 40, berkata, lawatan dan sumbangan itu amat bermakna baginya dan para pesakit yang dirawat di hospital tersebut.

Menurut suri rumah yang menghidap penyakit kencing manis itu, usaha murni sukarelawan ABIM tersebut akan dikenang hingga ke akhir hayatnya.

“Saya sangat terharu kerana ada pihak yang bukan sahaja memberi sumbangan, malah sudi mendampingi kami di sini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan hari raya oleh ABIM di sini.

Pada majlis itu, para pesakit menerima sumbangan berupa makanan dan barangan keperluan peribadi.

Kesunyian para pesakit itu juga terisi apabila kumpulan yang digelar sukarelawan Islamic Outreach ABIM (IOA) sudi mendampingi, mendengar keluhan hati dan memberi kaunseling kepada mereka.

Perasaan terharu Malathi turut dikongsi teman sebelah katilnya, Salmah Rodop, 65, yang mengakui kunjungan itu sedikit sebanyak menghiburkan hatinya yang kesunyian.

“Saya tidak mengharapkan apa-apa sumbangan. Saya hanya ingin seseorang menemani dan berbicara dengan saya.

“Terima kasih kepada sukarelawan terlibat yang sudi meluangkan masa bersama kami tanpa mengharapkan apa-apa balasan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi IOA, Azril Mohd. Amin memberitahu, lawatan para sukarelawan itu sebenarnya adalah sebahagian daripada aktiviti amal pihaknya yang diadakan secara mingguan.

“Sekurang-kurangnya sekali seminggu, sukarelawan IOA akan bergilir mengunjungi wad-wad di HKL dan Hospital Ampang untuk mendampingi pesakit.

“Bagi pesakit beragama Islam, kita akan ajar cara-cara untuk beribadat ketika uzur manakala bagi pesakit bukan Islam, kita akan bagi kaunseling dan berkongsi cerita dengan mereka,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »