MAJLIS BELIA MALAYSIA

Sorakan Dan Airmata Rakyat Malaysia Menyambut Kepulangan Wira-Wirawati Paralimpik Negara 2016

KLIA 22 Sept  – Sukan Paralimpik 2016 yang telah berlangsung di Rio De Janeiro, Brazil telah menjadi buah mulut global kerana persembahan hebat dan mengagumkan daripada kesemua atlet dari seluruh dunia. Kontinjen Negara seramai 21 atlet yang diketuai Ketua Kontinjen Dr. Ang Kean Koo itu yang mencipta kejayaan luar biasa apabila merangkul tiga pingat emas dan satu gangsa tiba di Terminal C Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3.05 petang. Setiap detik ketibaan para atlet telah dipaparkan secara live di Komplek Bunga Raya.

Emas negara diperoleh melalui Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi bagi acara 100 meter, Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh), manakala gangsa oleh Siti Noor Radiah Ismail (lompat jauh). Mohamad Ridzuan menyumbang pingat emas pertama negara apabila memenangi acara 100m T36 dengan catatan masa 12.07 saat. Catatan masa yang dibuat oleh atlet yang berasal dari Padang Besar, Perlis itu juga merupakan rekod kejohanan yang baharu, berbanding 12.25s yang dibuat atlet dari Ukrain, Roman Pavlyk di temasya di Beijing 2008. Muhamad Ziyad pula merangkul emas kedua buat Malaysia dalam acara lontar peluru F20. Selain berjaya meraih emas, beliau turut mencipta rekod dunia acara itu dengan catatan 16.84m. Muhammad Ziyad memadamkan rekod dunia yang dicatat Todd Hodgetts dari Australia sejauh 16.29m di Paralimpik London 2012.

Kontinjen negara yang menggunakan pesawat Emirates Airlines turut diberi sambutan ‘water salute’ sebelum dibawa ke Kompleks Bunga Raya. Ketibaan kontinjen disambut Menteri Belia dan Sukan YB. Khairy Jamaluddin, Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Tun Jeanne Abdullah dan Presiden MPM SM  Nasaruddin SM Nasimuddin sebelum dibawa ke pentas utama Kompleks Bunga Raya untuk bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Turut hadir bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Anggota keluarga Mohamad Ridzuan dan Abdul Latif turut hadir dari Perlis dengan menaiki bas yang disewa khas, juga disertai anggota keluarga Siti Radiah dari Segamat, Johor dan anggota keluarga Muhammad Ziyad dari Gombak. Suasana yang riuh-rendah telah berubah menjadi sayu timbul perasaan sebak melihat atlet-atlet menangis kegembiraan memeluk keluarga mereka yang dipaparkan secara live di Kompleks Bunga Raya.

Jelas sekali kejayaan luar biasa atlet Paralimpik bukan sahaja mengharumkan nama negara tetapi telah menyentuh hati rakyat Malaysia dengan persembahan mereka. Mereka telah memberi inspirasi dan harapan kepada anak-anak muda Malaysia. Kurang upaya atau kecacatan anggota badan bukan penghalang untuk mencapai impian tetapi apa yang penting adalah semangat dan usaha.

 

mbm_2701 mbm_2703 mbm_2717 mbm_2718 mbm_2721 mbm_2728 mbm_2732 mbm_2740 mbm_2757 mbm_2759 mbm_2762 mbm_2765 mbm_2768 mbm_2773 mbm_2777 mbm_2778 mbm_2782 mbm_2793 mbm_2796 mbm_2804 mbm_2811 mbm_2813 mbm_2814 mbm_2816 mbm_2817 mbm_2823 mbm_2841 mbm_2851 mbm_2856 mbm_2859 mbm_2870 mbm_2875 mbm_2877 mbm_2878 mbm_2880 mbm_2882 mbm_2885 mbm_2890 mbm_2892 mbm_2893 mbm_2898 mbm_2910

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »