KUALA LUMPUR 28 Julai – Perkahwinan bukan sekadar penyatuan dua individu, tetapi juga memerlukan persediaan mental, emosional dan spiritual yang rapi bagi membina hubungan yang harmoni.
Atas inisiatif tersebut, Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama MoodaRise dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menganjurkan Program Smartstart 2.0 Pra Perkahwinan selama dua hari di Pusat Belia Antarabangsa.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, Timbalan Pengerusi Yayasan Bank Rakyat.
Dalam ucapannya beliau berkata, “walaupun program ini nampak kecil tetapi impaknya amat berguna kepada generasi muda apabila melayari alam rumah tangga kelak”.
Hadir sama Naib Presiden MBM, Sdri. Lam Yoke Theng (Yuki); Setiausaha Agung MBM, Sdr. Hasnul Haniff Harun dan Exco MBM merangkap Penyelaras program, Puan Asya Rahman.
Program ini mencakupi silibus persediaan mental, pembinaan sikap positif, alam perkahwinan, amaran siber, diet sihat, perundangan dan ekonomi rumahtangga.
Tenaga penceramah terdiri daripada Encik Muhammad Afiq Ab Latif, Penolong Pengarah, Unit Penerangan dan Pendidikan dan Encik Helman Penie, Penolong Pengarah, Unit Kaunseling Keluarga LPPKN WPKL.
Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
















































































