Kuala Pilah 4 Mac – Majlis Belia Malaysia (MBM) melalui Jawatankuasa Khas Latihan dan Kepimpinan telah menganjurkan Kem Latihan dan Kepimpinan Skuad MiB300 Fasa 2 Siri 2 bertempat di D’Kok Eco Camp, Kg. Talang Kuala, Pilah Negeri Sembilan. Kem selama 4 hari 3 malam ini bermula pada 1 Mac hingga 4 Mac 2018 telah disertai seramai 88 orang peserta yang terdiri daripada kalangan belia berumur 18 hingga 25 tahun.
Majlis Belia Malaysia sebuah organisasi belia yang bertanggungjawab melahirkan bakal pemimpin muda yang mana mengikut pada sejarah MBM sendiri bahawa pemimpin kini ramai yang lahir dari MBM seperti Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam, Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lain-lain. MBM melalui Jawatankuasa Khas Latihan dan Kepimpinan yang diterajui Oleh Sdr. Hasnul Fairuz Hushin Amri telah mewujudkan inisiatif ini bagi melahirkan bakal pemimpin muda iaitu Skuad MiB300 melalui pelaksanaan secara empat fasa dan kini ia telah masuk ke fasa kedua. Untuk fasa kedua, pengisiannya lebih kepada aktiviti luar melalui konsep praktikal peserta dalam mengaplikasikan bakat kepimpinan mereka.
Majlis perasmian penutup program ini telah disempurnakan oleh TYT Dato’ Seri Hasan Malek, Duta Besar Malaysia Ke Kemboja merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah. Beliau juga merupakan Mantan Presiden MBM bagi sesi 1986-1988. Beliau turut menyampaikan amanat kepada para peserta agar sentiasa mengambil kelebihan dan peluang yang telah disediakan oleh MBM kerana MBM adalah sebuah badan pertubuhan belia yang sentiasa merangka pembangunan belia di negara ini. Disamping itu juga beliau menyatakan golongan muda kini adalah generasi TN50 dan bertanggungjawab dalam membina negara yang sihat dan terus dipandang tinggi di seluruh dunia.
Turut sama hadir ke majlis ini ialah Sdr. Ahmad Saparudin Yusup, Setiausaha Agung MBM, Sdr. Hasnul Fairuz Hushin Amri, Ketua Penyelaras merangkap Penolong Setiausaha Agung MBM, Sdr. Sherhannizam Abdul Aziz dan Sdr. Wan Mohd Husni Abdullah,Exco MBM. Majlis ini telah diakhiri dengan sesi penyerahan cenderamata dan sijil dan sesi bergambar bersama tetamu kehormat.