KUCHING, 1 November 2015 – Belia di Sarawak diberikan peluang bagi mengasah bakat kepimpinan mereka dalam program kepimpinan anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dan SABERKAS melalui Skuad MiB 300 yang diadakan di D’Cove Family Park, Pasir Panjang, Kuching bermula 31-1 November 2015.
Sepanjang tiga hari program, peserta diberikan peluang untuk menyerlahkan potensi mereka dalam setiap aspek seperti kejasama berpasukan, kepimpinan, penyelesaian konflik, komunikasi dan banyak lagi berlandaskan modul yang telah dirancang rapi oleh barisan fasilitator yang terlatih demi mencapai objektif untuk menyediakan kepimpinan berumur bawah 30 tahun menjelang 2018.
Setiausaha Agung SABERKAS, Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, SABERKAS dan pihak kerajaan negeri komited dalam usaha melahirkan pemimpin muda yang berkualiti di masa hadapan dan perkara tersebut termasuk dalam manifesto kerajaan negeri melalui penganjuran program-program kepimpinan di seluruh negara.
“Program Skuad MiB 300 seperti yang diadakan hari ini (semalam) bertujuan untuk menilai kemahiran kepimpinan dikalangan belia dan ia merupakan satu platform untuk mendedahkan mereka kepada peranan yang perlu ada pada seseorang pemimpin”. Kata beliau dalam ucapan penangguhan program Skuad MiB 300 peringkat negeri Sarawak.
Dr. Abdul Rahman, yang juga ADUN Pantai Damai, turut menegaskan belia hari ini harus diberikan cabaran dan tanggungjawab yang lebih besar agar mereka dapat memainkan peranan yang lebih berkesan seterusnya dijadikan sebagai pengalaman kepada mereka.
Turut menjayakan program Exco Saberkas, Sdr. Leonard Jambu, Exco MBM, Sdr. Ahmad Daniar Ismail dan Sdr. Hasanul Amir Abdul Halim. Barisan fasilitator terdiri daripada Dr. Wan Hassan Wan Ahmad, Sdr. Ahmad Nazri Husin dan Sdr. Zairy Bin Rosli.