PUTRAJAYA 23 Disember – Majlis Belia Malaysia (MBM) melalui Biro Perindustrian, Ekonomi dan Keusahawanan telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Dato’ Sri Dr. Hj Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Pertemuan ini turut disertai timbalannya, YB Datuk Mas Ermiyati Samsudin yang memudahcara majlis.
Delegasi MBM diketuai Presidennya, Sdr. Jufitri Joha membincangkan usaha menggandakan sinergi bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui projek keusahawanan yang telah berjalan dan akan berjalan.
Turut dibawa suara belia Orang Asli, beliawanis dan belia OKU. Suara mereka didengar oleh YB Menteri dengan tindakan terus program susulan.
YB Menteri mempunyai idea dan agenda besar untuk mengubah mentaliti dan sikap bangsa terhadap keusahawanan selain meminati ilmu, idea, buku dan kajian.
YB Menteri juga sempat berinteraksi secara dalam talian bersama Timbalan Pengerusi Biro Perindustrian, Ekonomi dan Keusahawanan Sdri. Nurliana Muhamad yang menerangkan mengenai Hub Usahawan Belia Malaysia.
Hadir sama Pengarah Urusan TEKUN Nasional Dato Adam Abd Ghani, CEO SME Corp Malaysia Encik Rizal Nainy, Exco MBM merangkap Pengerusi Biro Perindustrian, Ekonomi dan Keusahawanan, Sdr. Syed Osman Mohamed, Sdr. Mohd Faiz Shuhaimi, Presiden Majlis Belia Orang Asli Sdr. Clive Allen dan Aktivis Pejabat Presiden MBM, Sdr. Fahami Ashrof Badaruddin.