MAJLIS BELIA MALAYSIA

SIDANG MEJA BULAT MAJLIS BELIA MALAYSIA BERSAMA PENASIHAT EKONOMI KEPADA PERDANA MENTERI

PUTRAJAYA 14 Mei – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah terlibat dengan Sidang Meja Bulat bersama Dr. Muhammed Abdul Khalid selaku Penasihat Ekonomi kepada YAB Perdana Menteri. Sidang Meja Bulat tersebut ini berlangsung di Pejabat Perdana Menteri. MBM diketuai Presiden MBM, Sdr. Jufitri Joha serta Exco MBM dan ahli Badan Gabungan.

Sidang Meja Bulat tersebut bermula dengan penerangan oleh Dr. Muhammed Abdul Khalid berkenaan halatuju ekonomi Malaysia di bawah kendalian kerajaan Pakatan Harapan. Beberapa isu penting telah ditekankan seperti pengasingan kuasa menteri dalam isu pentadbiran melibatkan tender dan surat sokongan, amalan kerajaan lama yang membenarkan campur tangan menteri dan lantikan politik dalam agensi berkaitan kerajaan dalam urusan-urusan tersebut telah dihapuskan dalam pentadbiran sekarang. Perkara ini dapat dilihat dalam pentadbiran Majlis Amanah Rakyat (MARA), di mana lantikan pentadbir dalam agensi tersebut tidak melibatkan mana-mana individu atas kapasiti politik sama sekali. Pembentukan belanjawan negara kini dilakukan oleh sebuah jawatankuasa yang melibatkan wakil pihak kerajaan dan pembangkang, ini satu lagi langkah berani yang dilakukan untuk menghasilkan belanjawan yang lebih berwibawa.

Di samping itu kerajaan juga dalam rangka untuk melihat semula indicator kemiskinan dalam konteks Malaysia, perkara ini dilakukan demi memastikan pengkelasan status ekonomi rakyat Malaysia dilakukan dengan lebih adil. Kerajaan juga ingin membawa tahap pendidikan di Malaysia supaya setanding dengan tahap pendidikan peringkat antarabangsa, justeru langkah pertama yang akan dilakukan ialah dengan membawa sistem peperiksaan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berasaskan kepada sistem peperiksaan global.

Sesi Sidang Meja Bulat seterusnya dibuka kepada MBM untuk menyatakan hasrat dan pandangan berkenaan ekonomi Malaysia khususnya yang melibatkan belia. Setiap wakil MBM menyatakan pandangan masing-masing mewakili belia bandar, luar bandar dan golongan profesional.

Respon Dr. Muhammed Khalid, beliau menyatakan terdapat pandangan MBM yang harus di bawa ke peringkat lebih tinggi. Justeru beliau meminta agar MBM menyediakan kertas kerja yang lebih tersusun dan di bawa kepada beliau selepas Sesi tersebut. Antara pandangan MBM yang mendapat perhatian beliau ialah berkenaan usaha sama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk membangunkan tanah-tanah terbiar bagi tujuan pertanian, model FELDA adalah sangat sesuai untuk digunakan melibatkan produk-produk pertanian lain. Beliau juga bersetuju untuk mencari jalan memudahkan usahawan-usahawan belia untuk mendapatkan pinjaman daripada agensi-agensi kerajaan seperti TEKUN dan MARA. Langkah permulaan telah diambil oleh kerajaan kini dengan menggunakan SME Bank sebagai pemudah cara.

Pada peringkat penggulungan, Dr. Muhammed Khalid meminta MBM untuk lebih ke hadapan sebagai suara belia. Isu-isu yang melibatkan belia sama ada dalam bidang sosial atau ekonomi harus mendapat respons daripada pimpinan MBM secara pantas. Beliau juga berjanji akan mengadakan perjumpaan susulan dengan pimpinan MBM pada penggal ketiga tahun 2019 nanti.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »