Cadangan yang dikemukakan Malaysia mengenai Pelan Pemulihan Ekonomi ASEAN pasca COVID-19 yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi persidangan video pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN mengenai COVID-19 pada 14 April 2020 baru-baru ini amat penting dan sejajar dengan kepentingannya yang perlu dilaksanakan di peringkat ASEAN.
Sidang Kemuncak Khas ASEAN Mengenai COVID-19 yang telah diadakan itu dipengerusikan oleh TYT Nguyen Xuan Phuc, Perdana Menteri Vietnam dan disertai oleh ketua-ketua kerajaan 10 anggota pertubuhan serantau ASEAN.
Pelan itu dirangka bagi memberi tumpuan bukan sahaja kepada aspek kewangan, bahkan jaringan keselamatan sosial, pendidikan dan jaminan rangkaian bekalan makanan kepada 600 juta penduduk rantau ini.
Mewakili usahawan belia Malaysia dan Social Innovation of ASEAN Young Entrepreneurs Committee kami ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada YAB Perdana Menteri di atas inisiatif yang telah dikemukakan oleh pihak kerajaan di mana impak daripada inisiatif tersebut bakal menjadikan ASEAN lebih kukuh dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada masa akan datang.
Cadangan yang dikemukakan oleh Malaysia itu bakal memberi kesan yang positif dan secara tidak langsung menguatkan lagi hubungan semua anggota ASEAN untuk bersama-sama menempuh cabaran yang lebih getir pasca COVID-19.
Selain itu, ucapan YAB Perdana Menteri jelas menunjukkan kredibiliti kepimpinan beliau untuk terus memimpin Malaysia dengan lebih baik tambahan lagi dalam keadaan wabak yang melanda dunia ketika ini. Malah, pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia boleh dicontohi oleh negara-negara ASEAN lain.
Malaysia juga menyokong pengwujudan COVID-19 ASEAN Response Fund (Dana Khas COVID-19 ASEAN) untuk meningkatkan skala stok kecemasan sedia ada bagi menghadapi kemungkinan wabak pada masa depan. Dana ini juga merupakan satu perancangan yang sangat penting kerana dengan kewujudannya nanti dapat membantu negara anggota ASEAN yang terjejas dari segi ekonomi mahupun bekalan agar sumbangan dapat disalurkan.
Dalam memastikan kelancaran aliran bekalan untuk perubatan, makanan dan barang keperluan, Malaysia dilihat bebas dari sebarang sekatan dengan kawalan yang cukup rapi oleh kerajaan. Hal ini bertepatan dengan saranan YAB Perdana Menteri supaya ASEAN perlu mengelak daripada mengenakan sebarang sekatan tidak perlu yang boleh menghalang kelancaran bantuan ini supaya ia dapat diagihkan dengan mudah dan lancar.
Pendekatan yang sedang diambil oleh Malaysia dari masa ke masa dalam menangani pandemik COVID-19 jelas menunjukkan kerajaan mahu rakyat Malaysia menikmati kemudahan yang disediakan dengan kaedah terbaik. Luahan dan pandangan rakyat diperhalusi supaya rakyat yang terjejas segera dibantu dan mendapat manfaat.
Semoga Malaysia terus menjadi contoh dalam mendepani isu yang bakal berlaku pasca COVID-19 terutamanya sektor kesihatan, ekonomi dan peluang pekerjaan yang membimbangkan. Rakyat Malaysia perlu berusaha keras memajukan ekonomi negara bersama kerajaan kerana Malaysia sentiasa bersedia untuk memerangi pandemik ini bersama-sama ASEAN.
Harapan kami selaku belia pewaris negara, semoga pihak kerajaan akan terus memperkasa jaringan kerjasama antara Negara-negara ASEAN serta membina jaringan bersama sektor berkepentingan yang memberi manfaat kepada rantau ini.
Ucapan terima kasih kepada wira negara barisan hadapan dalam terus cekal membendung wabak COVID-19!
NURLIANA BINTI MUHAMMAD
Timbalan Pengerusi
Biro Perindustrian, Ekonomi dan Keusahawanan
Majlis Belia Malaysia
merangkap;
Social Innovation of ASEAN Young Entrepreneurs Committee
Bertarikh : 16 April 2020