MAJLIS BELIA MALAYSIA

Siaran Media : Siri Bual Bicara “Youth Leaders” Tajuk Siri 2 : “Dimensi Moral Hak Asasi Manusia”

SIARAN MEDIA

SIRI BUAL BICARA “YOUTH LEADERS”

TAJUK SIRI 2 : “DIMENSI MORAL HAK ASASI MANUSIA”

 

Hak asasi manusia adalah hak yang tidak boleh dipisahkan dan kebebasan yang layak bagi setiap insan yang bergelar manusia. Hak-hak tersebut menjamin maruah dan harga diri manusia serta menggalakkan kebaikan insani.

Bagi membicarakan isu dimensi moral terhadap hak asasi, Majlis Belia Malaysia (MBM) menampilkan ahli panel, Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj. Abdul Hamid, Ahli Jawatankuasa Kerja MBM yang mempunyai pengetahuan luas mengenai hak asasi manusia atas penglibatan beliau dalam lapangan gerakan peguam muda negara. Siri kedua ini dipengerusikan oleh Sdr. Mohammad Khair Sujud, Presiden Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Mohd Izzat memulakan perbincangan dengan memberikan definisi terhadap hak asasi serta perbandingan antara moral dan hak asasi bagi memberi penjelasan mudah kepada umum. Menurut beliau, hak asasi manusia dijamin oleh perlembagaan yang telah termaktub tanpa mengira kaum, agama, pegangan serta kewarganegaraan.

Beliau turut menyentuh mengenai perkara 10 di dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu setiap warganegara mempunyai hak dalam kebebasan bersuara. Namun perlu diingatkan, setiap hak itu ada hadnya yang perlu dipatuhi.

“Di dalam Perkara 10(3) menyatakan bahawa terdapat undang-undang yang boleh diwujudkan oleh kerajaan yang membenarkan untuk menghadkan kebebasan bersuara tersebut. Contohnya berkaitan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti seperti agama dan kaum,” kata beliau.

“Hak asasi dan moral adalah dua perkara yang saling berkaitan dan bergandingan. Hak asasi mungkin berbeza dari sudut pandang individu, geografi dan pegangan. Masyarakat di Eropah menyatakan pandangan tentang hak asasi mereka berbeza dengan sudut konteks masyarakat di Asia yang lebih menekankan hak dalam keagamaan,” tambah beliau.

Komitmen negara dalam menegakkan hak asasi manusia boleh dilihat dengan penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang berperanan dalam memantau isu-isu mengenai hak asasi manusia di negara ini selain memberi nasihat serta syor kepada pihak kerajaan mengenai penambahbaikan.

Sebagai rekod, Malaysia telah menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama dua penggal. Ini merupakan pencapaian hebat dan pengiktirafan tertinggi terhadap usaha Malaysia dalam menegakkan kepentingan hak asasi manusia di negara ini. Malaysia juga turut mengambil bahagian dalam Semakan Berkala Sejagat (UPR) di mana undangundang hak asasi manusia negara disemak oleh negara-negara anggota. Ini membuktikan Malaysia mempunyai peranan yang signifikan dalam konteks hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

Video penuh temu bual ini boleh disaksikan dan juga dimuat turun melalui platform media MBM seperti yang dinyatakan di bawah.

Sebarang pertanyaan mengenai program ini, sila hubungi Sdr. Mohammad Rizan Hassan, Ketua Penerangan MBM di talian (013) 773 3676.

Terima kasih.

 

AHMAD SAPARUDIN YUSUP

 

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia

Tarikh: 9 Mac 2018

Tel : (013) 3734934

Emel : mbmsua@gmail.com

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »