MAJLIS BELIA MALAYSIA

SIARAN MEDIA : MBM GESA PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) DESAK MYANMAR HENTIKAN PEMBUNUHAN KE ATAS ETNIK ROHINGYA

SIARAN MEDIA

MBM GESA PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) DESAK MYANMAR HENTIKAN PEMBUNUHAN KE ATAS ETNIK ROHINGYA

Majlis Belia Malaysia (MBM) prihatin dan menyatakan kekesalan terhadap perkembangan terkini di Myanmar. Konflik yang melanda etnik Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar bertambah kritikal sekali lagi sejak 25 Ogos lalu dengan dengan lebih 400 rumah dibakar, wanita dirogol, kanak-kanak dan warga tua diburu, dibunuh serta diseksa dengan dahsyatnya. Dianggarkan hampir 125,000 etnik Rohingya terpaksa menjadi pelarian meninggalkan Myanmar ke Bangladesh dalam masa kira-kira 2 minggu kebelakangan ini.

Kegagalan kerajaan Myanmar menghentikan segala kekejaman ke atas etnik Rohingya dengan menggunakan junta tentera untuk melakukan pembersihan etnik (genocide) menimbulkan keraguan di kalangan masyarakat antarabangsa tentang keikhlasan kerajaan Myanmar di bawah pentadbiran Ketua Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi (pemegang Anugerah Nobel Keamanan Dunia) dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Lebih memburukkan keadaan, Myanmar menyekat semua bentuk bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada orang awam di beberapa wilayah di Rakhine.

Laporan antarabangsa mendedahkan krisis melanda Rohingya dan anggota keselamatan Myanmar masih berlaku sehingga kini. Pembunuhan dan penyeksaan oleh junta tentera juga masih berlaku terhadap etnik Rohingya yang masih berada di Rakhine.

Sehingga kini, bencana kemanusiaan ini mengakibatkan :

  • Jumlah pelarian Rohingya yang memasuki Bangladesh sejak 11 hari lalu mencecah 125,000.
  • Agensi bantuan luar tidak mempunyai kemudahan untuk menangani pelarian selain kekurangan kemudahan asas seperti air dan makanan.
  • Pelarian terpaksa tidur tanpa bumbung atau khemah buatan sendiri sementara kem di Cox’s Bazar telah penuh dengan hampir 400,000 pelarian sebelum ini.
  • Sebahagian kawasan hutan sedang dibersihkan untuk membina penempatan tambahan buat pelarian Rohingya di Bangladesh.

Justeru, MBM sebagai badan induk pergerakan belia di negara ini menggesa kerajaan Malaysia menggunakan pengaruh dan segala saluran yang ada dengan mendesak PBB supaya mengenakan tekanan terhadap kerajaan Myanmar bagi menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan ini. Kita menuntut PBB tidak hanya mengeluarkan kenyataan semata-mata dan tidak bertindak menghentikan serangan ke atas komuniti atau kumpulan agama tertentu.

Selain itu juga, MBM menyeru agar PBB mengadakan sidang khas (special session) secepat mungkin bagi membincangkan penyelesaian terbaik dalam isu ini dengan memanggil wakil kerajaan Myanmar serta wakil etnik Rohingya.

MBM menyeru supaya negara-negara ASEAN untuk menerima pelarian Rohingya dan memberikan perlindungan sementara sewajarnya sejajar dengan semangat setiakawan ASEAN. Sejak tahun 2010, Malaysia telah menerima seramai 900,000 pelarian di mana 90 peratus daripadanya merupakan warga Myanmar yang majoritinya etnik Rohingya.

MBM turut menyarankan agar Anugerah Nobel Keamanan yang diberikan kepada Aung San Suu Kyi ditarik balik jika beliau tidak mahu bekerjasama menghentikan isu ini dan memastikan ia tidak akan berulang lagi.

Rakyat Malaysia tidak boleh berkompromi dengan isu kemanusiaan sebegini. Ini kerana dasar tidak mencampuri urusan dalaman tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan apa yang berlaku sekarang ini.

MBM mengajak seluruh masyarakat khususnya belia untuk sama-sama berdoa agar krisis kemanusiaan terburuk ini segera berakhir dan rakyat Rohingya kembali menjalani hidup seperti biasa.

 

Sekian, terima kasih.

 

 

MUA’AMAR GHADAFI JAMAL DATUK WIRA JAMALUDIN

Presiden Majlis Belia Malaysia

 

 

Tarikh: 6 September 2017

Tel : (019) 5599077

Emel : mbm@belia.org.my

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »