SIARAN MEDIA
1 NOVEMBER 2016
MBM ANJUR KURSUS ASAS KEPENGADILAN KEBANGSAAN
1 BELIA 1 PENGADIL (1B1P)
Kepengadilan merupakan elemen utama di dalam penganjuran mana-mana jenis sukan meliputi berbagai peringkat seperti daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Ia juga merupakan elemen penting di dalam memastikan kualiti penganjuran sesuatu kejohanan mencapai kualiti dan kepuasan hati semua pihak.
Dalam usaha untuk mempromosi bidang kepengadilan dalam kalangan masyarakat khususnya belia, Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan akan menganjurkan Kursus Asas Kepengadilan Kebangsaan 1 Belia 1 Pengadil (1B1P) meliputi sukan bolasepak, sepak takraw dan bola jaring. Siri pertama akan bermula pada 4 hingga 6 November 2016 di Negeri Sembilan.
Majlis pelancaran Kursus Asas Kepengadilan Kebangsaan (1B1P) akan disempurnakan oleh YB Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan Malaysia pada 3 November 2016 (Khamis) jam 4.00 petang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
1 Belia 1 Pengadil (1B1P) merupakan inisiatif MBM di bawah Jawatankuasa Khas Kebudayaan, Sukan dan Gaya Hidup Sihat bertujuan mencungkil bakat-bakat dalam kalangan belia dan beliawanis untuk menceburkan diri dalam bidang kepengadilan yang bertauliah.
Program ini digerakkan oleh badan-badan gabungan MBM yang terdiri daripada majlis belia negeri dan badan kebangsaan di setiap negeri. Mereka akan dibantu oleh majlis sukan negeri dan persatuan sukan negeri terbabit.
Kursus ini akan berlangsung selama 2 hari meliputi pelbagai aspek seperti penerangan khusus tentang undang undang setiap sukan, latihan amali, praktikal dan ujian bertulis. Sasaran awal seramai 100 orang peserta yang terbahagi kepada 3 jenis sukan iaitu bolasepak, sepak takraw dan bola jaring.
Kursus ini akan mendedahkan peserta-peserta dengan asas kepengadilan dan asas pemarkahan (teori dan praktikal) serta dikendalikan oleh tenaga-tenaga pengajar profesional dalam bidang sukan masing-masing.
Selain itu, mereka juga didedahkan berkaitan pengurusan sukan secara ‘hands on’ dalam kursus ini sekali gus ia mampu meningkatkan kemahiran komunikasi ketika berhubung dengan masyarakat luar.
Peserta-peserta yang menyertai kursus ini layak menerima sijil tauliah yang diiktiraf oleh badan sukan.
Selain melahirkan belia yang aktif dan cergas, profesion kepengadilan juga mampu membantu golongan belia menjana sumber pendapatan sampingan melalui kejohanan-kejohanan yang dianjurkan pelbagai pihak.
Dalam persekitaran yang lebih mencabar hari ini, golongan belia tidak harus tertumpu kepada satu bidang semata-mata malah perlu menerobos setiap peluang yang mampu memberikan keuntungan dan kebaikan kepada diri mahupun masyarakat keseluruhannya.
Sekian, terima kasih.
MUA’AMAR GHADAFI JAMAL DATUK WIRA JAMALUDIN
Presiden
Majlis Belia Malaysia