Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia akan menganjurkan Karnival Sukan Patriotik Belia Malaysia 2016 “Liga Bolasepak Belia Patriotik” pada 24 Disember 2016 (Sabtu) di Stadium Mini Hulu Langat, Selangor.
Antara pasukan yang akan menyertai pertandingan ini ialah MyT MBM, Kementerian Belia dan Sukan dan Malaysia All Star yang dibarisi oleh lagenda bolasepak tanahair seperti Azman Adnan, Dollah Salleh, Shahril Arshat, Shahrin Majid serta beberapa pemain lagi.
Sebagai tarikan umum, MBM menjemput orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan berdekatan supaya datang menyaksikan dan memberi sokongan kepada bekas-bekas lagenda bolasepak negara ini beraksi di padang. Pihak penganjur juga menyediakan hadiah-hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir.
Sepanjang karnival berlangsung, MBM juga akan menggerakkan Tabung Hulur Sikit Bro! seiring dengan Kempen Tabung Pahlawan ‘Demi Perwiraku, Sekecil Manapun, Besar Pengertiannya‘ bagi mengisi Tabung Pahlawan. Sejak dilancarkan pada 25 November 2016, tabung ini telah bergerak di lokasi penganjuran program-program MBM dan persatuan-persatuan belia di seluruh negara sehingga 31 Januari 2017.
Inisiatif ini merupakan sebahagian usaha MBM dalam membantu kerajaan membantu veteran ATM di samping menanam rasa syukur dan mengenang budi di kalangan generasi muda terhadap pengorbanan pejuang-pejuang negara.
Sesungguhnya sumbangan ikhlas biar sekecil mana sekalipun, amatlah besar ertinya kepada bekas perajurit dan keluarga mereka.
Sekian, terima kasih.
AHMAD SAPARUDIN YUSUP
Setiausaha Agung
Majlis Belia Malaysia