MAJLIS BELIA MALAYSIA

‘Siapa rompak kekayaan negara, mesti kita lawan habis-habisan…’ – Anwar

PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa perang menentang rasuah digerakkannya, tidak menyasarkan bangsa tertentu, tetapi sesiapa juga yang merompak kekayaan negara.

Tegas Perdana Menteri, tindakan diambil terhadap semua, baik Melayu, Cina atau India jika mereka terbabit dalam jenayah berkenaan dan penyelewengan.

“Tindakan tegas kerajaan dalam membanteras gejala rasuah dan penyelewengan adalah untuk menyelamatkan negara. Ada orang tanya saya soal rasuah ini, mengapa Anwar hendak perang kuat, ramai Melayu yang ditangkap.

“Ini bukan soal Melayu, Cina, Dayak atau India. Siapa yang rompak kekayaan negara, mesti kita lawan habis-habisan,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2023, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyempurnakan pelancaran Model Pembangunan Belia MADANI 2030 (MPBM2030) yang menjadi pelengkap Dasar Belia Malaysia, selain mengumumkan peruntukan tahunan RM5 juta kepada pertubuhan belia di bawah naungan MBM.

Anwar juga mahu generasi belia bertindak sebagai ejen perubahan dalam menyelamatkan negara daripada segala gejala tidak baik seperti rasuah dan kezaliman, tidak menjadi ‘pak turut’ kerana mereka penentu nasib dan masa depan negara.

“Anak muda sekarang mesti sedar bahawa masa depan, mereka yang tentukan dengan sikap perlu mempunyai komitmen, sikap yang menolak kemungkaran, tolak rasuah, tolak kezaliman dan mengangkat martabat rakyat.

“Saya tak mahu anak muda jadi pak turut. Bincanglah, nak kritik, nak tegur, nak minta ulasan silakan. Nak beza pandangan silakan, tapi jangan jadi macai dan malaun. Kita tak mahu anak muda mencerca orang lain, anjur perpecahan, sebaliknya berusaha bantu angkat martabat rakyat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau mahu anak muda negara ini mempunyai keyakinan, idealisme, prinsip dan nilai serta akhlak yang tinggi, menghormati orang tua dan menjadi anak yang baik.

“Anak muda juga perlu menolak segala perbuatan rasuah dan penyelewengan kerana ia bukan budaya, tradisi atau amalan kita. Itu semangat yang sepatutnya ada pada anak muda kerana yang dirompak itu adalah hak kita, hak anak muda,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau meminta MBM menyediakan laporan dalam tempoh sebulan mengenai beberapa perkara, termasuk langkah menambah keahlian belia dalam persatuan mewakili generasi itu.

Selain itu, pembabitan 30 peratus beliawanis dalam saf kepemimpinan Majlis Belia Negeri (MBN) dan memperhebatkan program ekonomi, latihan serta kebajikan, termasuk kesedaran belia menunaikan tanggungjawab mereka menyelamatkan negara.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/05/1107070/siapa-rompak-kekayaan-negara-mesti-kita-lawan-habis-habisan-anwar?fbclid=IwAR2mofS-JF0B1Fa7tSpQNbI9VVK9tWxrbElQTJGTC4VhzC7eTPpiHnkczPQ

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »