KUALA SELANGOR 27 Jan. 2012 – Showcase Anak Muda anjuran Majlis Belia Selangor (MBS) di sini hari ini menarik minat lebih 2,000 belia untuk turut serta dalam program tersebut.
Program siri kedua selepas di Petaling Jaya dekat sini pada 21 Januari lalu itu merupakan inisiatif MBS dalam menyediakan platform kepada golongan muda meluahkan pandangan serta idea mereka untuk manfaat negara pada masa depan.
Timbalan Pengerusi MBS Daerah Kuala Selangor, Zaidi Syazwan Azim berkata, golongan muda sememangnya memainkan peranan signifikan kepada pembangunan negara.
“Keadaan negara pada masa depan bergantung kepada golongan muda hari ini. Untuk mencorakkan keadaan negara yang lebih baik, maka golongan muda harus diberikan ruang serta pendedahan secukupnya bagi mengembangkan kreativiti mereka dalam pelbagai bidang.
“Maka, program yang kita anjurkan ini sememangnya bertepatan dengan usaha itu. Selain berperanan menghimpunkan belia, program ini turut berfungsi sebagai tempat menjalin kerjasama erat, mengetengahkan bakat serta idea masing-masing,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Lebih 70 gerai jualan disediakan di tapak program itu meliputi jualan barangan dan makanan kepada pengunjung.
Program kira-kira pukul 2 petang itu dimulai dengan persembahan pasukan dram penuntut Kolej Komuniti Selayang (KKSY) disusuli persembahan nasyid ‘indie’ oleh kumpulan Al-Farabi Band, Mestica dan Dakmie.
Program itu turut menampilkan persembahan Second Combat iaitu duta Persatuan Beliau Bebas Dadah yang secara konsisten sejak 15 tahun lalu menjalankan kempen antidadah dan antialkohol dalam kalangan anak muda.
Persembahan kemuncak program itu diadakan pada pukul 10 malam ini dengan menampilkan Ramli Sarip sebagai penyanyi jemputan dan persembahan pelawak, Ebby Yus.
Bagi segmen keagamaan pula, program tazkirah diadakan selepas solat asar dan maghrib oleh aktivis Mavi Marmara, Noorazman Samsuddin.
Para pengunjung juga berpeluang menyaksikan tayangan video Misi Mavi Marmara 2010 yang diserang tentera Israel ketika membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
MBS turut menyediakan tabung bantuan kemanusiaan Gaza bagi membolehkan pengunjung menyalurkan bantuan membantu rakyat Palestin.
Dalam pada itu, Presiden MBS, Datuk Irmohizam Ibrahim turut menyampaikan hamper serta bantuan makanan kepada 130 warga emas yang sempena program tersebut.
Irmohizam turut menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah motosikal Honda EX-5, telefon bimbit, jam tangan serta hadiah sagu hati lain kepada para pengunjung.