MAJLIS BELIA MALAYSIA

Setahun sebagai PM: NGO menilai prestasi Najib

Saturday, 03 April 2010

SETIAUSAHA MBM MOHD ZAIDI AZIZ:

“Kita melihat dalam tempoh setahun ini Perdana Menteri banyak memberikan tumpuan kepada permasalahan rakyat di peringkat akar umbi.

“Ini satu langkah yang bagus bagi mengetahui dan menyelesaikan permasalahan di kalangan rakyat peringkat akar umbi. Melalui perancangan teliti, kita melihat ia mula memberikan kesan kepada penyelesaian masalah rakyat.

“Selain itu, beliau turut memberikan fokus kepada golongan belia khususnya dalam bidang pendidikan, kesihatan dan juga sukan.

“Keprihatinan ini amat bagus kerana generasi muda ini merupakan pelapis dalam sesebuah negara. Sekiranya mereka dilupakan, siapa yang akan mewakili negara pada masa hadapan.

“Jadi melalui usaha-usaha menyeluruh diambil kerajaan ini, kita lihat generasi muda hari ini tidak akan lagi dipinggirkan. Sebaliknya, mereka perlu menonjolkan diri sebagai menyahut cabaran kerajaan.

“Dari segi ekonomi pula kita melihat banyak perancangan dibuat oleh kerajaan sama ada dari aspek pembangunan mahupun pelaburan negara.

“Selain itu, banyak rancangan telah dibuat serta dibincangkan dalam usaha untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.”

PRESIDEN ABIM MUHAMAD RAZAK IDRIS:

“Datuk Seri Najib telah menggunakan tempoh setahun ini dengan begitu baik terutamanya dari segi keharmonian serta kesejahteraan rakyat.

“Gagasan 1 Malaysia memberikan impak positif dalam hubungan antara rakyat yang berbilang kaum, agama dan kepercayaan.

“Jadi konsep ini perlu dihayati oleh setiap rakyat supaya setiap manfaat itu boleh dirasai bersama tanpa mengira latar belakang mereka.

“Usaha-usaha untuk meningkatkan kecekapan agensi kerajaan serta pentadbiran negara menerusi program Indeks Prestasi Utama, Pelan Transformasi Kerajaan dan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara dilihat memberikan impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Selain itu, kerajaan juga perlu memberikan sokongan kepada NGO terutamanya yang memberikan tumpuan kepada agama dan dakwah.

“Pengisian konsep 1 Malaysia perlu digabungkan bersama NGO yang berunsurkan dakwah supaya identiti Islam dalam 1Malaysia akan lebih jelas.

“Oleh itu, usaha-usaha dalam pendidikan agama perlu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih konkrit supaya NGO terbabit dapat memainkan peranan mereka dengan lebih baik.”

PRESIDEN GPMS JAIS ABD KARIM:

“Banyak perkembangan positif sejak Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan konsep Gagasan 1 Malaysia yang dibawa beliau amat sesuai dalam situasi sekarang.

“Namun begitu, masih banyak perkara perlu dilakukan bagi kerana tempoh satu tahun ini amat singkat jika kita mahu melihat dengan lebih jelas perubahan yang dilakukan.

“Jadi dalam keadaan ekonomi yang masih belum stabil kita harap kerajaan dapat memberikan fokus utama kepada bidang pendidikan kerana ia amat penting dalam melahirkan lebih ramai golongan cerdik pandai masa depan.

“Fokus kepada bidang ini sangat penting, jadi kita harap Datuk Seri Najib dapat membuka lebih banyak peluang dalam pendidikan supaya lebih ramai pelajar cemerlang dapat dihasilkan.

“Melalui peruntukan-peruntukan dalam pendidikan sekiranya tidak diberi perhatian serius ia memberikan kesan kurang baik kepada pelajar khususnya kepada pelajar-pelajar Melayu.

“Justeru, kita amat berharap supaya kerajaan dapat memandang serius perkara ini kerana ia penting bukan sahaja kepada negara tetapi juga bangsa.”

PRESIDEN MAJLIS BELIA HINDU MALAYSIA K. RASASELVAN:

“Sepanjang tempoh satu tahun ini kita lihat banyak perubahan yang berlaku terutamanya dalam hubungan antara kaum yang semakin erat.

“Sejak beliau memperkenalkan konsep 1 Malaysia, kita melihat banyak dasar ataupun polisi berdasarkan slogan ini.

“Mengenai MEB, kita lihat Datuk Seri Najib tidak hanya memberikan tumpuan kepada satu kaum sahaja tetapi semua rakyat tanpa mengambil kira bangsa, agama dan kepercayaan.

“Dengan langkah dan perancangan yang dibuat, ia secara tidak langsung menambah kepercayaan kaum India kepada pemerintahan beliau.

“Beliau turut membuat polisi yang memberi peluang kepada usahawan-usahawan belia India untuk mendapatkan pinjaman selain turut menyediakan bantuan serta peruntukan kepada Dewan Peniaga Masyarakat India.

“Selain itu, kita lihat kaum India turut diberi peluang untuk memegang jawatan dalam kerajaan dan ini jelas menunjukkan beliau tidak memilih kasih.”

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »