KUALA LUMPUR 18 Nov – Statistik menunjukan hanya kira-kira 40 peratus rakyat Malaysia mempunyai perlindungan takaful dan insurans sekali gus menunjukkan tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap kepentingannya masih rendah.
Atas kepentingan itu, Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama Allianz Malaysia Berhad telah mengadakan satu sesi perkongsian program dan inisiatif tentang kesedaran perlindungan sosial bertempat di Sky Lounge, NU Central di sini.
Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid dalam ucapannya menyambut baik langkah ini bagi memberi kesedaran dan pemahaman mengenai kepentingan insuran khususnya kepada golongan belia.
Menurut Izzat, rakyat Malaysia masih kurang pendedahan tentang kepentingan insuran berbanding negara luar. Di samping mewujudkan masyarakat mempunyai perlindungan menyeluruh ia juga mampu menjana pendapatan pasif buat belia.
Program ini dihadiri pimpinan belia dari badan-badan gabungan MBM serta rakan-rakan strategik MBM.
Untuk rekod, MBM dan Allianz telah menjalinkan kerjasama dalam Skim Perlindungan Tenang yang memberi manfaat kepada lebih 1,500 penerima.
Hadir sama Pengerusi Allianz Malaysia Berhad, Encik Zakri Khir; Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Encik Sean Wang; Setiausaha Agung MBM, Sdr. Hasnul Haniff Harun dan pengurusan kanan Allianz.
Antara perkongsian yang disampaikan ialah kesedaran perlindungan sosial, insuran rahmah, produk Allianz4All, CEO Programme Recruit 2Grow dan lain-lain.