BANGI 12 Nov – Model Baharu Pembangunan Belia (MBPB) merupakan sebuah inisiatif Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dalam memperkukuhkan Dasar Belia Malaysia (DBM) selaras dengan perkembangan semasa serta isu-isu global yang dijangka bakal mengubah gaya hidup masyarakat dan belia khususnya.
Justeru, satu sesi libat urus telah diadakan pada 10 – 12 November 2021 lalu bagi mendapatkan input daripada golongan sasar belia dalam usaha menambah baik kerangka yang sedia ada. Empat kumpulan dipecahkan mengikut tema antaranya pendidikan, penciptaan pekerjaan, kecergasan dan penglibatan dan suara belia. Perbincangan secara khusus diadakan di dalam setiap kumpulan yang dibimbing oleh moderator yang tidak asing dalam lapangan belia antaranya Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, Prof. Dr. Haslinda Abdullah, Dr. Ahmad El-Muhammady dan Dr. Wendy Yee Mee Tien.
Sesi libat urus yang diadakan di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) Bangi ini memperlihatkan kesungguhan peserta yang hadir daripada pelbagai latar belakang dalam membentangkan idea mereka dalam memastikan modul ini dapat menampung cabaran besar yang bakal dihadapi oleh belia pada masa hadapan.
MBM turut diwakili oleh Naib Presiden, Sdr. Izzat Afifi Abd Hamid dan Sdr. Syafiq Ridzwan selaku Presiden Majlis Belia Selangor.