MAJLIS BELIA MALAYSIA

Sesi Flag-Off Delegasi Malaysia Ke International Festival Of Youth 2026

PUTRAJAYA 9 September – Majlis Belia Malaysia terus memperkukuh peranan belia Malaysia di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan delegasi negara ke International Festival of Youth 2026 yang bakal berlangsung di Yekaterinburg, Persekutuan Rusia.

Satu sesi Flag-Off Delegasi Malaysia ke International Festival of Youth 2026 telah diadakan di Lobi Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya sebagai simbolik pelepasan delegasi negara ke pentas global. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan bersama Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid, Presiden Majlis Belia Malaysia.

Turut hadir dalam sesi flag-off tersebut ialah YB Mordi Bimol, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, TYT Naiyl M. Latypov, Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia, serta Puan Azura Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN). Kehadiran barisan kepimpinan ini mencerminkan sokongan berterusan terhadap pembangunan potensi belia Malaysia serta usaha memperluaskan jaringan kerjasama belia di peringkat antarabangsa.

Penyertaan delegasi Malaysia ke International Festival of Youth 2026 melibatkan seramai 52 wakil Malaysia yang terdiri daripada 40 peserta berusia 18 tahun ke atas, 10 peserta bawah 18 tahun serta 2 wakil Malaysia bagi program Guardians of Memory 2026. Penyertaan ini menjadi platform penting dalam memperkenalkan bakat, kreativiti dan aspirasi belia Malaysia di persada dunia.

Melalui penyertaan ini, delegasi Malaysia berpeluang menyertai pertukaran budaya, perkongsian pengalaman serta membina jaringan strategik bersama komuniti belia antarabangsa. Inisiatif ini selari dengan aspirasi memperkasakan golongan muda agar lebih berdaya saing, berwawasan dan mampu memainkan peranan sebagai pemimpin masa hadapan.

Semoga delegasi Malaysia terus membawa nama negara dengan penuh semangat dan keyakinan, selain menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus aktif dalam memperkukuhkan hubungan antarabangsa serta menyumbang kepada pembangunan belia global.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »