PUTRAJAYA 24 Jan – Kepimpinan gerakan belia yang diketuai Angkatan Belia Islam Malaysia / Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama beberapa buah NGO telah menyerahkan memorandum “Rakyat Mahu Kerajaan Stabil” kepada YAB Perdana Menteri bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bagi terhadap Kerajaan Perpaduan.
Ketua Penerangan MBM, Sdr. Fazril Mohd Saleh mewakili gerakan ini menyerahkan memorandum tersebut kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di Bangunan Sri Perdana.
Antara isi memorandum tersebut mahu kerajaan yang dibentuk atas perkenan Yang di-Pertuan Agong itu, diberi peluang memimpin negara sehingga tamat penggal.
“Penyerahan memorandum ini sebagai sokongan dan menyatakan kebersamaan kita kepada kerajaan sedia ada”.
“Majoriti rakyat mahu kerajaan terus stabil dan memberi tumpuan kepada usaha pembangunan negara, reformasi institusi di samping memfokuskan kepada pertumbuhan ekonomi secara holistik”, ujarnya.
Antara pimpinan yang hadir Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid; Setiausaha Agung ABIM, Sdr. Aliemran Norashid; Presiden MAYC Kebangsaan, Sdr. Al-Hafizi Hj Abu Bakar; Exco MBM, Dr. Mohd.Fauzi B Fadzil; Presiden MBOKU, Sdr. Mohd Faiz Shuhaimi dan Presiden GEPIMA, Sdr. Ibrahim Mohamed.