MAJLIS BELIA MALAYSIA

SEMPENA HARI BELIA NEGARA 15 MEI 2020 : MBM CADANG PENUBUHAN KUMPULAN PARLIMEN SEMUA PARTI TENTANG EHWAL BELIA / ALL PARTY PARLIAMENTARY GROUPS (APPG) ON YOUTH AFFAIRS

15 Mei merupakan tarikh keramat kepada belia Malaysia kerana ia merupakan tarikh yang telah diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia sebagai sambutan Hari Belia Negara (HBN). Namun kerana kesuraman yang melanda Negara ekoran Covid-19 ini, maka sambutan dan himpunan besar-besaran belia dan kepimpinan tertinggi Negara seperti kebiasaannya untuk meraikan sumbangan dan pencapaian belia terpaksa ditangguhkan bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Di kesempatan ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Belia Negara 2020 kepada seluruh belia Malaysia sambil menyeru supaya mereka terus berdaya tahan dan bangkit menghadapi pasca wabak Covid-19 dengan penuh kesabaran dan kecekalan.

Di hari istimewa ini, sebagai pengiktirafan berterusan kepada suara dan peranan belia Malaysia yang mencorakkan keadaan semasa dan masa depan Negara, MBM ingin mencadangkan kepada pihak Kerajaan dan Parlimen Malaysia mengenai penubuhan Kumpulan Parlimen Semua Parti tentang Ehwal Belia atau All Party Parliamentary Group (APPG) on Youth Affairs.

APPG merupakan pembentukan grup sekumpulan Ahli Parlimen dengan kelompok masyarakat madani (NGO) yang berkongsi kepentingan bersama berkaitan belia dan pembangunan belia Malaysia. Ia diyakini mampu mengecilkan jurang yang wujud antara pembuat polisi di Parlimen dengan belia, pemegang taruh berkaitan dan pergerakan belia di akar umbi. Di samping merakyatkan Parlimen, medium rasmi ini juga menyediakan wadah rasmi untuk semua pihak berkepentingan bertemu bagi berbincang, memberikan input, melobi dan mendapatkan pandangan akar umbi secara langsung tentang isu-isu dan polisi-polisi berkaitan belia Malaysia. Justeru Ahli Parlimen, para belia dan pihak berkepentingan mempunyai wadah rasmi untuk berpartisipasi berbanding sebelum ini dibuat secara tidak sistematik.

APPG merupakan antara model yang baik di Parlimen United Kingdom dan APPG di Malaysia telah pun mempunyai sejarahnya apabila Parlimen telah menubuhkan APPG untuk Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) tahun lepas.

Dalam konteks Malaysia, APPG Hal Ehwal Belia disyorkan ditubuhkan dengan kombinasi Kaukus Ahli Parlimen Muda dan Kaukus Reformasi Dewan Negara dengan diselaraskan oleh MBM selaku suara rasmi belia Malaysia yang diikitiraf oleh Akta Persatuan Belia dan Pembangunan Belia 2007. APPG Hal Ehwal Belia kemudiannya boleh dianggotai wakil-wakil belia, pergerakan belia dan pihak-pihak berkepentingan seperti ahli akademik dan pembuat polisi untuk turut serta menjadi ahli tetap mahupun tidak tetap.

Di hari yang istimewa ini, MBM mohon mencadang penubuhan APPG Hal Ehwal Belia. Semoga suara, peranan dan partisipasi belia Malaysia terus diperkukuhkan.

Selamat Hari Belia Negara 2020

#DekadIniDekadAnda

JUFITRI BIN JOHA

PRESIDEN

MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bertarikh:  15 Mei 2020

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »