KUALA LUMPUR 10 Oktober – Semangat kepimpinan dan kebolehan berhujah dalam kalangan belia terus disuburkan apabila Majlis Belia Malaysia berjaya menganjurkan Pusingan Saringan (Pusingan pertama hingga Pusingan keempat) Pertandingan Debat Piala Presiden 2026 secara dalam talian.
Program yang menghimpunkan 34 pasukan daripada pelbagai badan persatuan itu berlangsung sepanjang hari dengan peserta menyertai perdebatan dari lokasi masing-masing menerusi platform dalam talian. Sementara itu, urusan penganjuran dan pengendalian pertandingan dijalankan dari YHUB Majlis Belia Malaysia, yang menjadi pusat bagi barisan Yang Dipertua (YDP) sidang.
Program ini dilancarkan oleh Ketua Penerangan MBM, Sdr. Syafiq Ridzwan Jamaluddin. Dari aspek teknikal, MADUM menyelaras kelancaran program sepanjang pertandingan berlangsung.
Penganjuran secara dalam talian pada peringkat saringan ini membolehkan penyertaan yang lebih luas daripada badan-badan persatuan tanpa dihadkan oleh faktor jarak dan kos perjalanan, sekali gus memberi peluang yang sama rata kepada semua pasukan untuk bersaing.
Selepas tamat Pusingan 4, pasukan-pasukan yang layak ke pusingan seterusnya telah diumumkan. Pasukan-pasukan berkenaan akan bersaing secara fizikal pada 17 Oktober 2026 dan bersemuka secara langsung.
Pertandingan Debat Piala Presiden sekali lagi membuktikan bahawa gerakan belia bukan sahaja kuat dari segi idea, tetapi juga bersedia berhujah dengan hemah, berasaskan fakta dan bertanggungjawab demi kepentingan masyarakat dan negara.
MBM merakamkan penghargaan kepada seluruh peserta, YDP sidang, MADUM serta semua pihak yang menjayakan pusingan saringan ini. Semoga pertandingan ini terus melahirkan generasi muda yang berwibawa, kritis dan berketerampilan sebagai penggerak perubahan dalam komuniti.










