LEMBAH PANTAI 11 Okt – Majlis Belia Malaysia (MBM) meneruskan komitmen memperkukuh gerakan belia di peringkat akar umbi menerusi Jelajah Penaziran Majlis Belia Daerah yang berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober 2026.
Jelajah tersebut dilaksanakan oleh Jawatankuasa Penaziran MBM yang diketuai oleh Bendahari Kehormat MBM, Sdr. Izham Ahmad, bagi menilai tahap pengurusan dan pentadbiran organisasi belia, menyemak pematuhan terhadap tatacara serta keperluan pengurusan pertubuhan, selain meninjau perkembangan gerak kerja di peringkat daerah.
Sepanjang tempoh jelajah, jawatankuasa mengadakan kunjungan ke lima majlis belia bermula dari sekitar Kuala Lumpur sebelum diteruskan ke Pantai Timur, iaitu MBK Lembah Pantai, MBD Temerloh, MBJ Machang, MBJ Gua Musang dan MBJ Pasir Mas.
Lawatan ini menjadi platform bagi MBM berinteraksi secara langsung dengan kepimpinan belia peringkat daerah dan jajahan untuk memahami perjalanan organisasi, pelaksanaan program serta cabaran semasa. Sesi perbincangan turut diadakan bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan dan memberikan bimbingan agar pengurusan organisasi belia terus diperkasakan secara sistematik, telus dan berkesan.
MBM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua majlis belia yang telah memberikan kerjasama sepanjang jelajah ini, dengan harapan hubungan erat tersebut menjadi pemangkin kepada gerakan belia yang lebih inklusif, aktif dan berdaya maju.
Memperkukuh tadbir urus, memperkasakan gerakan belia!














