KUALA LUMPUR: Penanda aras gaji kehidupan wajar kira-kira RM3,100 wajar diberi perhatian, khususnya susulan tekanan kos sara hidup yang semakin dirasai belia yang baru memasuki alam pekerjaan.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, berkata angka berkenaan perlu dibezakan daripada kadar gaji minimum dan tidak bermaksud kerajaan perlu terus menetapkannya sebagai gaji minimum kepada semua majikan.
Sebaliknya, beliau berkata, RM3,100 boleh dijadikan penanda aras serta aspirasi bagi memastikan pendapatan rakyat secara berperingkat bergerak ke arah tahap kehidupan yang lebih baik.
“Bagi MBM, kita mahu melihat pendekatan yang seimbang. Di satu pihak, kita tidak boleh mengabaikan tekanan kos sara hidup dan keperluan belia untuk memperoleh pendapatan munasabah.
“Pada masa sama, kita perlu memastikan peningkatan gaji disokong peningkatan kemahiran, produktiviti dan nilai pekerjaan supaya ia berlaku secara mampan,” katanya kepada BH.
Terdahulu, BH melaporkan individu bujang yang tinggal di Kuala Lumpur dianggar memerlukan gaji kehidupan wajar kira-kira RM3,100 sebulan bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan pada tahap munasabah.
Ini berdasarkan anggaran inisiatif Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) 2026 yang mengambil kira perubahan kos hidup.
Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Fraziali Ismail, dilaporkan berkata angka itu bukan pengiraan baharu yang muktamad, sebaliknya berdasarkan kadar sekitar RM2,700 yang pernah dihitung bagi individu bujang di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu, sebelum disesuaikan secara kasar dengan perubahan inflasi.
Mohd Izzat Afifi berkata, kenaikan gaji tanpa peningkatan produktiviti dan nilai tambah pekerjaan boleh memberi tekanan kepada perusahaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Jika kos buruh meningkat tetapi produktiviti dan nilai tambah tidak bergerak seiring, ia boleh memberi tekanan kepada PKS dan akhirnya memberi kesan kepada peluang pekerjaan serta kos barang dan perkhidmatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pelaburan dalam pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), kemahiran digital, kecerdasan buatan (AI), automasi serta peningkatan kemahiran sepanjang hayat perlu diperkasa bagi memastikan belia mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi dalam pasaran pekerjaan.
“Apabila anak muda mempunyai kemahiran lebih tinggi dan mampu menghasilkan nilai tambah lebih besar, pasaran pekerjaan juga sepatutnya memberi ganjaran melalui gaji yang lebih baik.
“Pada masa sama, kita tidak boleh meletakkan seluruh tanggungjawab kepada pekerja untuk meningkatkan kemahiran. Majikan juga perlu memainkan peranan menyediakan latihan, laluan kerjaya dan struktur gaji yang lebih baik,” katanya.
Mohd Izzat Afifi berkata, kerajaan pula perlu terus menyediakan ekosistem yang menyokong peningkatan produktiviti dan kemahiran bagi membantu mewujudkan pasaran pekerjaan yang menawarkan pendapatan lebih baik.
“Pendirian MBM ialah RM3,100 boleh dijadikan aspirasi dan penanda aras, tetapi tidak semestinya terus dijadikan kadar gaji minimum secara menyeluruh.
“Kerajaan perlu terus mengkaji kadar gaji minimum berdasarkan keadaan ekonomi, manakala majikan dan pekerja perlu bergerak bersama dalam meningkatkan produktiviti dan kemahiran,” katanya.
Artikel Penuh :