15 Mei merupakan tarikh keramat kepada belia Malaysia kerana ia merupakan tarikh yang telah diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia sebagai tarikh sambutan Hari Belia Negara (HBN). Namun kerana kesuraman yang melanda Negara dek Covid-19 ini maka sambutan dan himpunan besar-besaran bersama belia dan kepimpinan tertinggi Negara seperti kebiasaan untuk meraikan sumbangan dan pencapaian belia terpaksa ditangguhkan bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggakan ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Di kesempatan ini, pihak MBM ingin mengambil mengucapkan selamat menyambut Hari Belia Negara 2020 kepada para belia Malaysia sambil menyeru mereka terus berdaya tahan dan bangkit menghadapi pasca wabak Covid-19 dengan penuh kesabaran dan kecekalan.
Di hari istimewa ini, sebagai pengiktirafan berterusan kepada suara dan peranan belia Malaysia yang mencorakkan keadaan semasa dan masa depan Negara, MBM ingin mencadangkan kepada pihak Kerajaan dan Parlimen Malaysia penubuhan Kumpulan Parlimen Semua Parti tentang Ehwal Belia atau All Party Parliamentary Group (APPG) on Youth Affairs.
APPG merupakan pembentukan grup sekumpulan Ahli Parlimen dengan kelompok masyarakat madani (NGO) yang berkongsi kepentingan bersama berkaitan belia dan pembangunan belia Malaysia. Ia diyakini mampu mengecilkan jurang yang wujud antara pembuat polisi di Parlimen dengan belia, pemegang taruh berkaitan dan pergerakan belia di akar umbi. Di samping merakyatkan Parlimen, medium rasmi ini juga menyediakan wadah rasmi untuk semua pihak berkepentingan bertemu bagi berbincang, memberikan input, melobi dan mendapatkan pandangan akar umbi secara langsung tentang isu-isu dan polisi-polisi berkaitan belia Malaysia. Justeru Ahli Parlimen, para belia dan pihak berkepentingan mempunyai wadah rasmi untuk berpartisipasi berbanding sebelum ini dibuat secara tidak sistematik.
APPG merupakan antara model yang baik di Parlimen United Kingdom dan APPG di Malaysia telah pun mempunyai sejarahnya apabila Parlimen telah menubuhkan APPG untuk Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) tahun lepas.
Dalam konteks Malaysia, APPG Hal Ehwal Belia disyorkan ditubuhkan dengan kombinasi Kaukus Ahli Parlimen Muda dan Kaukus Reformasi Dewan Negara dengan diselaraskan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) selaku suara rasmi belia Malaysia yang diikitiraf oleh Akta Persatuan Belia dan Pembangunan Belia 2007. APPG Hal Ehwal Belia kemudiaannya boleh dianggotai wakil-wakil belia, pergerakan belia dan pihak-pihak berkepentingan seperti ahli akademik dan pembuat polisi untuk turut serta menjadi ahli tetap mahupun tidak tetap.
Di hari yang mulia ini, MBM mohon mencadang penubuhan APPG Hal Ehwal Belia. Semoga suara, peranan dan partisipasi belia Malaysia terus diperkukuhkan.
Selamat Hari Belia Negara 2020
#DekadIniDekadAnda
JUFITRI JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 15 Mei 2020