PUTRAJAYA 18 Okt – Pasukan Gerakan Belia 4B Johor muncul juara keseluruhan Debat Piala Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) 2026 selepas menewaskan Gerakan Belia 4B Johor Ulu Pulai (B) pada pusingan akhir yang berlangsung di Auditorium Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),Putrajaya.
Pertandingan yang bermula pada pukul 10.30 pagi itu menjadi platform kepada golongan belia untuk mengasah pemikiran kritis serta menyuarakan pandangan melalui perbahasan yang berstruktur.
Pada peringkat akhir, kedua-dua pasukan berentap membahaskan usul “Dewan Ini Membenarkan Gabungan Persatuan Belia Menggunakan Aset Rasuah Yang Dirampas Bagi Membangunkan Kepimpinan Belia Melalui Gerakan Antirasuah”. Gerakan Belia 4B Johor yang mewakili pihak Kerajaan berjaya meyakinkan barisan hakim untuk meraih kemenangan.
Perbahasan dinilai oleh tujuh orang hakim yang diketuai Ketua Hakim Pertandingan merangkap Hakim Tertinggi Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Prof. Madya Ts. Dr. Fahmy Abdullah. Turut menjadi panel hakim ialah Setiausaha Agung MBM, Sdr. Ahmad Farhan Rosli.
Dalam pada itu, Abdullah Nuddin daripada GB4B negeri Johor dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Peringkat Akhir, manakala Muhammad Idham Hafizie Zainuddin daripada Sekretariat Rakan Muda (SRM) Kelantan dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Liga.
Penganjuran pertandingan ini mencerminkan kerjasama strategik antara SPRM dan MBM dalam membudayakan integriti serta menyemai sikap tegas menolak rasuah dalam kalangan generasi muda. Usaha ini turut membuka ruang kepada belia untuk memainkan peranan aktif dalam menyokong agenda antirasuah di peringkat masyarakat.
Majlis tersebut turut dihadiri Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj. Abdul Hamid, serta Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Dato’ Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim.


















