MAJLIS BELIA MALAYSIA

Seminar Pengurusan Logistik (Humanitarian Logistics) 2023 anjuran NADMA & UNHRD

SHAH ALAM 26 Sep – Telah berlangsung Seminar Pengurusan Logistik (Humanitarian Logistics) 2023 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama The United Nations Humanitarian Response Depot (UNHRD) bertempat di Depot UNHRD Shah Alam.

Program ini bertujuan memberi pendedahan mengenai pengurusan logistik antarabangsa yang dilaksanakan oleh UNHRD terutama dari segi kawalan rantaian bekalan (suppy chain management), pelabelan (tagging) dan penyimpanan barangan yang lebih teratur dan sistematik sebelum diedarkan kepada mangsa bencana.

Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai rakan strategik NADMA telah hadir ke program ini yang diwakili oleh Sdr. Muhammad Amirul Shafiq Ahmad Zuperi, Ahli Jawatankuasa Kesukarelaan dan Belia Mahir.

Selain MBM, peserta seminar yang hadir terdiri dari pelbagai pertubuhan NGO yang menjalankan misi kemanusiaan seperti Mercy Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah, Muslim Care, MyFundAction, Ihsan Johor dan Imam Respon & Relief Team.

Turut sama wakil dari agensi kerajaan antaranya Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pertahanan, Angkatan Pertahanan Awam serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART).

Peserta turut dibawa melawat gudang penyimpanan di sini bagi melihat sendiri cara pengurusan barangan yang dilaksanakan oleh UNHRD serta beberapa aset yang digunakan dalam misi penyelamat ketika bencana seperti bot alluminium, kit keluarga (family kit) dan khemah.

Untuk makluman, Depot UNHRD Kuala Lumpur merupakan satu daripada lima gudang rangkaian hab global milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berfungsi sebagai tempat penyimpanan dan pengurusan bantuan bencana untuk digerakkan dan diedarkan kepada lokasi yang ditimpa musibah dengan pantas.

Pemilihan Malaysia dalam pelaksanan gudang ini adalah kejayaan negara dalam pengurusan bencana di samping lokasi yang strategik dalam melaksanakan penghantaran.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »