Seremban – Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Seminar Memartabatkan Bahasa Melayu dalam Kalangan Belia Pelbagai Kaum pada 30 April 2011. Seminar tersebut diadakan sempena Sambutan Hari Belia Negara 2011 yang diadakan di Klana Resort,Seremban.
Pengisian pada hari tersebut dipenuhi dengan dua sesi pembentangan kertas kerja oleh Dato’ A. Aziz Deraman, Mantan Ketua Pengarah DBP dan Encik Goh Hin San, Presiden Persatuan Penterjemahan Penulisan Kreatif (PERSPEKTIF) serta sesi forum bersama YB Dato’ Razali Hj Ibrahim dan YB Dato’ S.K Devamany a/l Krishnasamy. Dato’ A. Aziz Deraman menyampaikan kertas kerja bertajuk ‘Dasar dan Peranan Generasi Muda Pelbagai Kaum’ dan Encik Goh Hin San membentangkan idea-ideanya yang bertajuk ‘Pembinaan dan Pengembangan Bahasa Kebangsaan Tanggungjawab Belia Pelbagai Kaum’. Peserta seramai 299 telah memberi respon yang menarik dengan lontaran pendapat dan pertanyaan berkenaan isu penggunaan dan pemantapan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.
Seminar tersebut turut dirasmikan bersekali dengan perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan ke-60 Majlis Belia Malaysia oleh Yang Berhormat Dato’ Abd Samad Bin Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia Dan Sukan yang mewakili Y.A.B Datuk Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan.