Kuala Lumpur 2 Jun – Selaras dengan rancangan pembangunan belia inovasi sosial ASEAN, telah berlangsung program “Seminar Keusahawanan dan Inovasi Sosial” pada 1 Jun 2016 di Vivatel Hotel yang bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Seminar ini merupakan anjuran bersama antara Majlis Belia Malaysia (MBM), Pusat Inovasi Sosial Belia (PISB) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama ASEAN Changemaker dan Yayasan Media Hebat dengan dihadiri seramai 33 orang peserta dari pelbagai persatuan belia.
Turut hadir dalam seminar ini adalah Sdr. Ahmad Saparudin SUA MBM, Sdr. Jufitri Joha Naib Presiden MBM, Sdr. Hasnul Haniff Exco MBM dan Sdr. Thai Ming Yeow Exco MBM.
Seminar ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada belia tentang Inovasi Sosial, seterusnya memupuk minat mereka terhadap keusahawanan sosial dalam pergerakan belia.
Sesi bermula dengan perkongsian pengalaman oleh 4 usahawan sosial yang berjaya dari Negara-negara ASEAN, iaitu Encik Jamon Mok (Singapura), Cik Khairunnisa Ash’ari (Brunei), Encik Roberto Crisostomo (Filipina) dan Encik Ahmad Zahir (Indonesia). Sesi tersebut berjaya memberi inspirasi kepada para peserta untuk menjelajahi inovasi sosial pada masa akan datang. Berikutnya adalah sesi “ Kanvas Model Bisnes Sosial” yang memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari proses inovasi sosial dan model bisnes sosial secara praktikal. Akhirnya, mereka diberi platform untuk membentangkan idea mereka kepada ahli panel.
Suatu perkembangan yang amat positif dapat dilihat menerusi pembentangan peserta dan terdapatnya permintaan untuk menganjurkan program susulan inovasi sosial di tahap akar umbi dari mereka yang berasal dari negeri lain dan agensi berlainan.
Seminar ini berakhir dengan ucapan penutup oleh Sdr. Jufitri Joha Naib Presiden MBM dan sesi bergambar kenangan………..