Bagan Datoh, 20 Januari 2017 – Hujan lebat yang turun sepanjang malam di sekitar Bagan Datoh, Perak tidak menghalang anak-anak muda untuk bersembang santai bersama pemimpin belia dalam program Cekodok Talk anjuran Majlis Belia Perak sempena permukiman daerah Bagan Datoh. Program sembang santai ini yang diadakan di warung cekodok bersebelahan Gelanggang Futsal Hutan Melintang, Bagan Datoh yang menampilkan YB Dato Shahrul Zaman, Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia, YB Hj. Aznel Haji Ibrahim, Adun Pengkalan Hulu merangkap Timbalan Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Perak dan turut dihadiri Tuan Hj. Muaa,mmar Ghadaffi Jamal Dato Wira Jamaludin, Presiden MBM, Sdr. Mohd Zaidi Aziz, Timbalan Presiden MBM, Ahmad Saparudin Yusuf, Setiausaha Agung MBM dan Penolong Setiausaha Agung MBM merangkap Presiden Negeri Perak, Sdr. Hasnul Fairuz Hushin Amri.
Objektif utama sembang santai ini diadakan adalah bagi mendengar sendiri permasalahan anak-anak muda berkenaan isu-isu semasa, pembangunan belia setempat dan peluang-peluang yang ada bagi menjana kemahiran serta ekonomi belia. Selain pada itu, anak-anak muda juga turut berpeluang mendekati pemimpin-pemimpin belia dengan lebih dekat.