SEREMBAN 19 Julai – Majlis Belia Malaysia (MBM) meneruskan komitmennya melahirkan pemimpin muda berilmu dan berintegriti menerusi Sekolah Politik Belia Malaysia Siri 2 yang berlangsung pada 17 hingga 19 Julai 2026 di Palm Hotel, Seremban.
Program selama tiga hari itu bertujuan memperkukuh kefahaman belia mengenai sistem kenegaraan, kepimpinan, ekonomi serta landskap politik semasa, di samping membentuk generasi yang berfikiran kritis, beretika dan bertanggungjawab.
Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai modul interaktif merangkumi kenegaraan, hak dan tanggungjawab warganegara, ekonomi, kepimpinan serta isu politik semasa. Pengisian seperti simulasi politik, debat ekonomi, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan dialog rentas ideologi memberi ruang kepada peserta mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan, membuat keputusan serta menghormati kepelbagaian pandangan.
Program ini turut disokong oleh barisan tenaga pengajar berpengalaman dan sesi perkongsian bersama tokoh politik tanah air iaitu YB Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi serta Encik Kamil Abdul Munim, Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Kewangan. Dialog bersama kedua-dua tokoh tersebut memberi pendedahan secara langsung mengenai kepimpinan, dasar kerajaan dan cabaran semasa negara.
Selain pengisian akademik, peserta turut didedahkan kepada aktiviti pembangunan kemahiran insaniah, kerja berpasukan dan pembinaan jaringan kepimpinan. Perbincangan rentas pandangan sepanjang program berjaya mewujudkan budaya dialog yang matang, terbuka dan berhemah.
Program melabuhkan tirainya dengan penyampaian sijil kepada semua Laskar Sekolah Politik Belia Malaysia Siri 2 oleh Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj. Abdul Hamid. Hadir sama Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan, Sdr. Mohd Fairos Rusli.





























