KUALA LUMPUR 5 Julai – Majlis Belia Malaysia (MBM) menerusi Akademi FUTURA berjaya menganjurkan Sekolah Politik Belia Malaysia Siri Pertama pada 3 hingga 5 Julai di Hotel Furama, Kuala Lumpur.
Memasuki penganjuran kali keempat sejak diperkenalkan pada 2018, program ini bertujuan memperkukuh kefahaman belia mengenai demokrasi, sistem kenegaraan, tadbir urus dan kepimpinan negara menerusi pendekatan pembelajaran yang interaktif, berasaskan fakta dan inklusif.
Sepanjang tiga hari, peserta mengikuti pelbagai modul berkaitan kenegaraan, hak dan tanggungjawab warga, ekonomi, kepimpinan serta dinamik politik semasa. Pengisian turut diperkaya dengan simulasi politik, debat ekonomi, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan dialog rentas ideologi bagi mengasah pemikiran kritikal serta kemahiran kepimpinan.
Program ini turut menampilkan barisan tenaga pengajar berpengalaman serta Forum Mantan Kepimpinan MBM yang menghimpunkan YB Shahbudin Hashim (Abe Din) dan YB Senator Dr. Jufitri Joha, yang berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai kepimpinan berintegriti dan peranan belia dalam demokrasi.
Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, dalam amanatnya menyeru belia agar terus memperkukuh ilmu, nilai kepimpinan dan pemikiran kritikal sebagai persediaan menjadi pemimpin masa depan.
Selepas siri pembukaan di Lembah Klang, program ini akan menjelajah ke Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Pahang, Sabah dan Sarawak sehingga Oktober 2026 sebagai sebahagian usaha MBM melahirkan generasi pemimpin muda yang berintegriti, berwibawa dan memahami sistem demokrasi negara.










































