KUALA LUMPUR 13 Mac – Program Sekolah Politik 2.0 telah memasuki sesi ke-2 untuk tahun 2021. Sesi kali ini menampilkan dua orang ahli panel yang terdiri daripada Dr. Che Hamdan Che Mohd Razali dan Dr. Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar yang masing-masing mewakili Institut Darul Naim (DNI).
‘Kuasa dan Ideologi Politik’ menjadi topik perbincangan dengan beberapa persoalan yang ditimbulkan sepanjang sesi. Antaranya adalah persoalan mengenai adakah ideologi bersifat kekal atau sebaliknya? serta berideologikah parti politik di Malaysia?
Sesi yang melibatkan seramai 235 orang peserta ini dikendalikan oleh moderator, Sdr. Abdul Akif Rahim melalui platform Zoom Meeting.
Program ini mendapat kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya (UMcedel) serta disokong oleh REFORM, DNI dan Sinar.