Telah berlangsung program “Sehari Bersama OKU” pada 27 Mei 2016 di Pusat Latihan Perindustrian & Pemulihan Bangi (PLPP) yang bermula pada pukul 8.00 pagi adalah anjuran Pusat Pengajian Psikologi & Pembangunan Manusia Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama UKM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PLPP, Murni Nursing College, Majlis Belia Malaysia (MBM), Kementerian Belia & Sukan Malaysia (KBS) dan Malaysian Humanitarian Movement.
Turut hadir ialah Sdr. Hasnul Haniff Exco MBM dan Dr. Aizan Sofia Amin Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, UKM.
Program yang diadakan ini adalah bertujuan untuk memupuk interaksi sosial yang sihat dan positif di antara OKU dan belia bukan OKU, memberi pendedahan kepada belia bukan OKU akan keperluan OKU dan memberi motivasi kepada OKU dengan menunjukkan bahawa mereka juga boleh hidup berdikari dalam masyarakat.
Program ini bermula dengan aktiviti suai kenal dan ramah mesra dengan Mentor (Sukarelawan Sokongan OKU pelajar Murni International College) dan Menti (pelajar OKU PLPP), seterusnya ucapan oleh Sdr. Hasnul Haniff Exco MBM. Diteruskan lagi dengan Ceramah Kesihatan (penggunaan ubat-ubatan) yang disampaikan oleh Puan Nor Liana Che Yaacob.
Menyelusuri kehidupan pelajar OKU PLPP, melihat tempat mereka belajar dan kemudahan-kemudahan lain yang disediakan.
Pada sebelah petang pula diadakan Forum Inspirasi OKU bersama 4 Ikon OKU yang diundang untuk berkongsi pengalaman bersama pelajar-pelajar PLPP yang dipengerusikan oleh Dr. Aizan Sofia Amin Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, UKM dan antara 4 ikon tersebut adalah Puan Norisah Bahrom (mulai mengalami OKU pada usia 15 tahun, memegang jawatan sebagai Penolong Pegawai IT di Kementerian Pelancongan Malaysia, seorang atlet paralimpik yang berjaya), Encik Hairul Adzman Hassan (OKU semasa lahir, merupakan Pegawai Mydin), Cik Suhaina Mohamed Ariffin (OKU sejak kecil lagi, merupakan Eksekutif Pemasaran Insuran dan bekas pelajar PLPP) dan Encik Che Abu Bakar Mat (merupakan usahawan runcit yang berjaya dan juga seorang atlet paralimpik).