MAJLIS BELIA MALAYSIA

Segera edar komputer riba percuma kepada pelajar – MBM

Kerajaan perlu mempercepatkan proses pengedaran komputer riba percuma kepada pelajar seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 bagi mengelakkan keciciran dalam proses baru pembelajaran yang dijalankan di rumah.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, selain komputer riba, kerajaan juga perlu meningkatkan capaian internet bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dapat berjalan.

“(Jika tidak), akan berlaku jurang pendidikan akibat terdapat jurang digital, kerana ada pelajar yang kurang capaian internet dan gajet untuk belajar menerusi alam maya,” katanya ketika dihubungi.

Dalam Belanjawan 2021, kerajaan mengumumkan seramai 150,000 murid di 500 buah sekolah rintis akan menerima komputer riba bagi memudahkan proses pembelajaran dalam talian.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, bagi merealisasikan bantuan berkenaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan menyumbang RM150 juta yang akan disalurkan ke Tabung Cerdik.

Sementara itu, Jufitri berkata anak-anak termasuk ibu bapa perlu mengambil masa menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran baru ini.

Justeru, katanya, kekurangan dari aspek capaian internet, gajet tidak cukup dan lain-lain boleh menjadi faktor tekanan ibu bapa dalam mengurus pembelajaran anak-anak mereka.

Pandangan Jufitri dipersetujui seorang ibu, Izzati Maisarah, 31, yang berdepan kesukaran memantau proses pembelajaran anak-anaknya yang mengikuti PdPR.

“Bukan apa, susah PdPR ni sebab kadang-kadang capaian internet tak cukup bagus, laptop pun kena kongsi, dan kena selalu pantau,” katanya kepada Sumberkini.

Artikel penuh: https://sumberkini.my/segera-edar-komputer-riba-percuma-kepada-pelajar-mbm/?fbclid=IwAR248rSbpJ3MGQIxGIV9uqSm3xIaX2rekOVaU1vs7GZpQuA1mhSAIp5-Xtg

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »