Kuala Lumpur, 15 April 2014 – Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menganjurkan Persidangan Meja Bulat Perpaduan Belia dan Hak Asasi Manusia: Perkembangan Pasca Semakan Berkala Sejagat (UPR) Geneva bertempat di Hotel Vivatel yang berlangsung pada 15 April 2014 bermula jam 9 pagi dan tamat pada 1 petang.
Seramai 50 wakil yang terdiri daripada ahli badan gabungan MBM, NGO dan mahasiswa.
Tujuan utama persidangan meja bulat ini ialah untuk menyediakan platform kepada belia Malaysia bagi menyuarakan keprihatinan mereka dan perkongsian input-input tentang kebaikan dan kelemahan menggunapakai pusingan kedua UPR. Selain itu, ia juga merupakan platform yang baik sebagai pendedahan kepada belia Malaysia mengenai pembangunan UPR bagi mempersiapkan mereka ke arah Komuniti ASEAN 2015 di mana ia merupakan bahagian utama agenda dalam memantapkan Deklarasi Hak-Hak Asasi Manusia Asean yang telah dibincangkan di dalam perbincangan meja bulat Komuniti ASEAN yang lepas. Semasa proses UPR ini, Malaysia telah memberi respons terhadap 232 syor yang dibangkitkan oleh 104 delegasi dan menyokong 150 syor terhadap beberapa isu yang sukar. Malaysia telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam penambahbaikan ke atas situasi hak-hak asasi selaras dengan undang-undang negara, keutamaan dan aspirasi rakyat.
Para panelis juga telah memberikan pengenalan mengenai UPR dan perkongsian pengalaman dari NGO-NGO yang menghadiri pusingan kedua UPR di Geneva. Ia juga turut membincangkan orientasi dan definisi intelektual mengenai konsep sebenar kebebasan dan keadilan dalam konteks budaya dan nilai di Malaysia.
Ucapan aluan persidangan meja bulat ini disampaikan oleh Sdr. Mua’amar Ghadafi Jamal Datuk Wira Jamaludin, Timbalan Naib Presiden MBM serta menampilkan barisan panelis yang berwibawa seperti YBhg. Dato’ Saifuddin Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Global Movement of Moderates Foundation (GMM), YBhg. Sdr. Mohamad Raimi Ab Rahim, Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan wakil ABIM ke Semakan Berkala Sejagat UPR Geneva, YBhg. Sdr. Yu Ren Chung, Women’s Aid Organization (WAO), YBhg. Dr. Wan Azhar Wan Ahmad, Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan dirumuskan oleh Sdr. Amidi Abdul Manan, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).