PULAU PINANG 26 Jan. 2013 – Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP) menyasarkan dapat menarik lebih 3,000 belia di negeri ini untuk menyertai 1Malaysia For Youth (1M4U).
Setiausaha Agungnya, Mohamad Saud berkata, sasaran itu diyakini dapat dicapai memandangkan maklum balas yang diterima daripada golongan belia terhadap 1M4U amat menggalakkan.
Katanya, setakat ini MBNPP telah berjaya menarik penglibatan hampir 1,000 belia dari seluruh negeri ini untuk mendaftar di bawah 1M4U.
“Buat permulaan kita hanya menyasarkan 3,000 belia dahulu dan bagi mencapai sasaran itu, MBNPP akan mengadakan pelbagai program memberikan maklumat dan seterusnya menarik golongan belia untuk terlibat sama dalam aktiviti kesukarelaan di bawah 1M4U.
“Kita juga telah mengarahkan pengurusan di peringkat daerah untuk bersama turun padang dan mendekati golongan belia ini,” katanya selepas Majlis Perasmian dan Pelancaran 1M4U peringkat negeri Pulau Pinang di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan Parlimen Bukit Mertajam yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir.